PN tiada ruang jatuhkan Kerajaan Perpaduan - Anthony

Anthony (tengah) berbincang dengan penyokongnya selepas selesai sidang akhbar di Kampung Cina pada Khamis.
Anthony (tengah) berbincang dengan penyokongnya selepas selesai sidang akhbar di Kampung Cina pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai sebarang ruang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun berjaya memenangi pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, kemenangan di negeri-negeri tidak akan mengubah kedudukan kerajaan pusat kerana syarat utamanya adalah melalui sokongan ahli Parlimen.

Justeru katanya, modal kempen digunakan bahawa Kerajaan Perpaduan akan tumbang sekiranya gabungan berkenaan berjaya mentadbir semua negeri yang terlibat dalam pilihan raya kali ini hanyalah bersifat angan-angan.

"Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri (Anwar) ada sokongan yang kukuh bukan sahaja daripada Pakatan Harapan (PH) tetapi komitmen sama juga turut ditunjukkan Barisan Nasional (BN).

"Selain itu, paling penting juga kerajaan turut mendapat komitmen tidak berbelah bahagi daripada dua blok utama parti di Sabah dan Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Malah, komitmen GPS dan GRS ini turut dibuktikan apabila pemimpin mereka turun padang dan menyertai Kerajaan Perpaduan pada hari penamaan calon Sabtu lalu," katanya ketika sidang akhbar di Kampung Cina di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari yang didakwa menggambarkan tidak mustahil gabungan itu mampu menukar kerajaan Persekutuan sekiranya memenangi PRN kali ini.

Ini kerana menurut Ahmad Fadhli, perlembagaan negara membenarkannya melalui pelbagai kaedah.

Dalam pada itu, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, rakyat diminta supaya tidak mempercayai naratif yang dibawa pembangkang tersebut.

"Jelas setiap hari mereka (pembangkang) berangan hendak tumbangkan kerajaan, gulingkan Perdana Menteri.

"Jadi, saya rasa rakyat boleh menilai bahawa mereka (PN) bukannya ada keikhlasan untuk membawa kemajuan kepada negeri masing-masing," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!