Melaka rangka inisiatif bantuan nelayan

Dr Muhamad Akmal (dua dari kiri) ketika menyampaikan bantuan sara hidup kepada nelayan daerah Jasin di Dewan Ahmad Ithnin, Merlimau Pasir pada Isnin
Dr Muhamad Akmal (dua dari kiri) ketika menyampaikan bantuan sara hidup kepada nelayan daerah Jasin di Dewan Ahmad Ithnin, Merlimau Pasir pada Isnin
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri merangka pelbagai inisiatif kepada golongan nelayan pada tahun hadapan untuk memperkasakan bantuan terhadap golongan itu.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata, ia penting bagi memastikan taraf ekonomi golongan itu dapat dipertingkatkan selain menjaga kebajikan mereka yang berada di setiap daerah dalam negeri ini.

Menurutnya, antara perancangan yang akan dibawa termasuk memperluaskan industri akuakultur di setiap kawasan nelayan, supaya dapat diusahakan mereka bagi menambah pendapatan sampingan.

Beliau berkata, ia merupakan salah satu usaha untuk memastikan golongan itu terus memperolehi pendapatan memandangkan hasil tangkapan semakin berkurangan lebih-lebih ketika Monsun Timur Laut.

"Contohnya projek ternakan kupang yang mana modal RM1.1 juta dibiayai kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Ia 100 peratus diusahakan nelayan dan permohonan permit telah dibuka untuk mereka mengambil hasil yang boleh dituai bermula hujung bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Insentif Sara Hidup Sekali Beri Fasa Keempat kepada 297 nelayan di daerah Jasin di Dewan Ahmad Ithnin, Merlimau Pasir pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, pihaknya sedang mengkaji dan meneliti Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) yang telah dipersetujui oleh syarikat konsesi penambakan laut untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu nelayan.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga antara usaha yang kita nak buat untuk membantu nelayan selain berikan mereka terlibat dalam industri akuakultur dan sebagainya.

"Kita nak minta mereka (syarikat konsesi) berikan nelayan bot lebih besar dan enjin berkapasiti lebih tinggi, supaya mereka ini (nelayan) boleh pergi jauh sedikit daripada pesisir pantai," katanya.

Insentif sara hidup itu diberikan kepada 1,103 nelayan berdaftar dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.15juta dan agihan bayaran dilakukan sebanyak empat kali setahun.