95 premis makanan kotor diarah tutup di Kelantan

Dr Zaini (kiri) melihat pemeriksaan dilakukan Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri sebelum ini. - Foto fail Sinar Harian
Dr Zaini (kiri) melihat pemeriksaan dilakukan Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri sebelum ini. - Foto fail Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan perintah penutupan sementara ke atas 95 premis makanan kotor di negeri ini dalam tempoh penguatkuasaan bermula 1 Januari tahun ini sehingga 31 Oktober lalu.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah itu bersamaan 1.5 peratus daripada keseluruhan 6,451 premis makanan yang diperiksa oleh penguat kuasa dari Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri (UIPN).

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan dibuat mengikut Akta Makanan 1983.

Dr Zaini
Dr Zaini

“Daripada keseluruhan premis itu, sebanyak 95 diberi perintah penutupan sementara bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Tindakan penutupan sementara premis makanan itu dilaksanakan sebagai langkah untuk menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kamera Badan untuk Aktiviti Penguatkuasaan bawah Program Kesihatan Awam Peringkat JKNK 2023 di Wisma Persekutuan di sini pada Isnin.

Ujar Dr Zaini, bagi tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dan Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985 pula, sebanyak 2,237 notis Seksyen 32B dikeluarkan.

“Di samping itu, sebanyak 15 kes didaftarkan untuk tindakan mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“Selainnya, sebanyak 13 kes sudah disabitkan kesalahan dengan denda berjumlah RM39,300,” kata beliau.

Pemeriksaan premis-premis makanan kotor dijalankan. - Foto fail Sinar Harian
Pemeriksaan premis-premis makanan kotor dijalankan. - Foto fail Sinar Harian

Sementara itu, Dr Zaini berkata, tindakan penguatkuasaan Akta Kesihatan Awam demi kepentingan kesihatan awam melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 juga dilaksanakan oleh pihak JKNK.

Menurutnya, daripada 10,319 premis yang diperiksa dalam tempoh sama, sejumlah 4,702 notis Seksyen 32B dikeluarkan pihaknya dengan amaun lebih RM1.09 juta.

“Daripada jumlah itu, 289 kes didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan 166 kes disabitkan kesalahan dan dikenakan denda berjumlah RM54,149.

“Seterusnya, melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit
 (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi, sejumlah 2,171 tawaran kompaun lebih RM1.1 juta dikeluarkan dengan purata RM500 setiap kompaun.

“Sejumlah lima kes didaftarkan untuk tindakan mahkamah manakala dua sudah disabitkan kesalahan dengan denda RM6,000,” kata beliau.