SPRM terima beribu-ribu dokumen semasa siasatan kes 1MDB - Pegawai penyiasat

Najib (tengah) hadir bagi perbicaraan kes 1MBD di Mahkamah Tinggi pada Khamis. Foto Bernama
Najib (tengah) hadir bagi perbicaraan kes 1MBD di Mahkamah Tinggi pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima beribu-ribu dokumen ketika menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pegawai penyiasat SPRM, Penguasa Kanan Nur Aida Arifin, 37, berkata, ini menyebabkan beliau terlepas pandang untuk merujuk e-mel berkaitan mesyuarat firma audit KPMG Malaysia kepada bekas Perdana Menteri itu ketika siasatan.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin mencadangkan bahawa sama ada beliau menerima apa-apa arahan daripada pegawai atasannya atau tidak ambil peduli untuk merujuk e-mel terbabit kepada Najib.

"Saya tidak setuju dengan kedua-dua cadangan itu. Semasa siasatan, kita dapat lebih beribu-ribu dokumen untuk siasatan kes ini, jadi berkemungkinan sama ada dokumen itu saya terlepas pandang untuk bertanya atau pegawai perakam tidak sempat untuk bertanya kepada Najib. Saya tidak ingat.

"Apa-apapun, saksi lain dalam kes ini telah mengesahkan perkara itu. Menurut saksi lain, Najib tahu mengenai apa yang dibincang dalam mesyuarat itu. Najib juga diberi peluang untuk membela diri dan menjelaskan jika beliau nak tambah apa-apa ketika siasatan,” katanya.

Sebelum ini, Nur Aida dalam pernyataan saksi memaklumkan bahawa satu mesyuarat telah diadakan di rumah Najib di Taman Duta bersama pihak pengurusan 1MDB dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Jho Low memulakan mesyuarat itu dengan membentangkan kandungan e-mel yang disediakannya.

Najib bersetuju dengan kandungan e-mel itu dan mengarahkan satu mesyuarat bersama KPMG diadakan dengan segera bagi menyelesaikan isu berkaitan pengauditan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Wan Azwan Aiman pada prosiding hari ini memaklumkan mahkamah bahawa Najib tidak pernah bersetuju dengan kandungan e-mel itu dan tidak mengarahkan agar satu mesyuarat diadakan bersama KPMG.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!