[VIDEO] Kilang terbakar: Pemilik premis perlu ambil kira aspek keselamatan

A
A
A

SUNGAI PETANI - Pemilik premis termasuk kilang atau gudang perlu bertanggungjawab dan beri kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyelamat sekiranya berlaku kebakaran bagi mengelakkan risiko sekali gus ancaman kepada anggota bertugas serta persekitaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Awang Hidzel Awang Bujang berkata, kegagalan pemilik premis berbuat demikian turut memberi kesan terhadap operasi menyelamat dan memadam kebakaran.

Awang Hidzel (kiri) memantau operasi memadam kebakaran membabitkan kilang Bukit Selambau pada Ahad.
Awang Hidzel (kiri) memantau operasi memadam kebakaran membabitkan kilang Bukit Selambau pada Ahad.

Menurutnya, langkah itu bertujuan mengelakkan ancaman bahaya selain mengambil kira aspek keselamatan anggota mahupun perniagaan yang diusahakan.

"Bila mereka beri kerjasama, mudah untuk kita mengenal pasti bahan yang ada di dalam kilang dan tentukan kaedah yang sesuai untuk mengawal serta memadam kebakaran," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran di Bukit Selambau pada Isnin.

Dalam pada itu, Awang Hidzel berkata, pegawai dan anggota yang terbabit dalam operasi menyelamat berdepan risiko lebih besar sekiranya terdapat bahan berbahaya di dalam premis kebakaran.

"Kalau kilang atau bangunan kosong, risiko lain sebaliknya kalau ada bahan berbahaya di dalamnya ia boleh memberi kesan terhadap keselamatan pegawai dan anggota penyelamat yang bertugas.

"Kita juga minta aspek keselamatan diambil kira, kalau bangunan yang lengkap semuanya, ada sijil dan sistem keselamatan yang sempurna...pastikan ia berfungsi sebab sistem ini akan memberi amaran awal dan memudahkan langkah awal diambil bagi mengurangkan risiko apabila berlaku kebakaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kebakaran dipercayai berpunca daripada kilang memproses barangan kitar semula.
Kebakaran dipercayai berpunca daripada kilang memproses barangan kitar semula.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pemantauan di lokasi kejadian kebakaran di Bukit Selambau mendapati terdapat kelongsong bateri ditemui bertaburan.

"Kebakaran kilang barangan terpakai ini melibatkan banyak jenis barangan termasuklah bateri-bateri kecil...kita tidak menolak kemungkinan letupan dan percikan 'bunga api' sewaktu kebakaran malam tadi berpunca daripada bateri.

"Mungkin ada barang lain lagi di dalam.. kita belum dapat masuk ke dalam bangunan sebab asap tebal dan sehingga pagi ini masih berlaku letupan," katanya.

Tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran kilang di Bukit Selambau pada Ahad. (Gambar kecil: Awang Hidzel)
Tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran kilang di Bukit Selambau pada Ahad. (Gambar kecil: Awang Hidzel)

Sementara itu, Awang Hidzel turut mengingatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian kebakaran.

"Saya ucapkan terima kasih kepada penduduk yang sentiasa cakna dengan persekitaran dan bertindak segera menghubungi bomba bagi melaporkan kejadian.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada kilang memproses barangan kitar semula di Bukit Selambau pada Ahad.
Kebakaran dipercayai berpunca daripada kilang memproses barangan kitar semula di Bukit Selambau pada Ahad.

"Cuma saya harap jangan buat spekulasi berhubung kejadian..sebaiknya tunggu kenyataan rasmi daripada kami," katanya.

Tambahnya, seramai 60 orang pegawai dan anggota bomba bertugas di lokasi sejak malam tadi sehingga ke hari ini..operasi turut membabitkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya, BBP Sungai Petani, BBP Kulim Hi-Tech dan BBP Yan serta 14 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kebakaran kilang sehingga mengakibatkan letupan 'bunga api' pada Ahad di Bukit Selambau dipercayai berpunca dari sebuah gudang kitar semula.

Kebakaran di Bukit Selambau pada Ahad dipercayai daripada sebuah kilang kitar semula.
Kebakaran di Bukit Selambau pada Ahad dipercayai daripada sebuah kilang kitar semula.