Mohamad Hanafe beri tumpuan tingkat pendapatan MPKS

Mohamad Hanafe (kanan) melaporkan diri sebagai YDP MPKS baharu pada Isnin.
Mohamad Hanafe (kanan) melaporkan diri sebagai YDP MPKS baharu pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Mohamad Hanafe Basri yang dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) baharu tekad memberi tumpuan dalam meningkatkan lagi sumber pendapatan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada masa depan.

Mohamad Hanafe berkata, MPKS perlu memanfaatkan pelbagai sumber pendapatan berdasarkan jumlah perkhidmatan diberikan kepada orang ramai.

"Kita boleh mempelbagaikan sumber ekonomi di sini kerana kita tahu di Kuala Selangor ini sememangnya terkenal sebagai tempat tumpuan pelancong dan kawasan pertanian.

"Kita banyak pilihan yang ada dan seterusnya dapat memanfaatkannya untuk meningkatkan hasil pendapatan pada masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua MPKS di Bilik Mesyuarat Malawati, Ibu Pejabat MPKS di sini pada Isnin.

Mohamad Hanafe (kanan depan) memeriksa perbarisan pada Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua MPKS di Bilik Mesyuarat Malawati, Ibu Pejabat MPKS di sini pada Isnin.
Mohamad Hanafe (kanan depan) memeriksa perbarisan pada Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua MPKS di Bilik Mesyuarat Malawati, Ibu Pejabat MPKS di sini pada Isnin.

Beliau memberitahu, tumpuan beliau juga ingin memastikan segala fasiliti dan kemudahan disediakan di bawah tanggungjawab MPKS berada dalam keadaan baik bagi menarik kedatangan pelancong.

"Jika semuanya dalam keadaan baik, sudah tentu ia dapat menggalakkan lebih ramai pelancong singgah di daerah ini sekali gus merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, segala perancangan yang dilaksanakan MPKS sebelum ini akan terus dilaksanakan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pembukaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) di Assam Jawa juga dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong untuk ke Kuala Selangor.

"Laluan ini dapat menjimatkan masa dan mengelakkan kesesakan dan mereka mempunyai pilihan sama ada untuk datang secara harian atau menginap di sini.

"Saya berazam untuk memajukan daerah ini dan berusaha memastikan MPKS memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua," tambahnya.

Pelantikan Mohamad Hanafe sebagai YDP MPKS ke-15 bagi menggantikan Rahilah Rahmat yang kini menjawat jawatan Pegawai Daerah Petaling.

Mohamad Hanafe sebelum ini merupakan Pegawai Daerah dan Tanah Hulu Selangor diberi tanggungjawab mengemudi MPKS selama tempoh dua tahun bermula dari 1 Disember lalu hingga Disember 2025.