Isu Little Napoleon: Kenapa nak menggelupur? - Sanusi

Sanusi
Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menempelak pihak tertentu yang disifatkan ‘menggelupur’ apabila beliau mendedahkan perkara sebenar yang berlaku dalam lawatan bersama Perdana Menteri ke Sadao, Isnin lalu.

Sanusi berkata, jadual penuh yang diberikan menerusi surat jemputan pertama tidak menyebut beliau dikecualikan daripada mana-mana program, yang bermula dari pagi hingga petang.

Menurutnya, beliau dijadualkan mengikuti rombongan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepenuhnya namun terdapat perubahan jadual dilakukan oleh pegawai Kementerian Luar Negeri pada saat akhir.

“Saya sudah jelaskan dalam sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (pada Rabu), jadual disediakan pegawai tadbir diplomatik (PTD) tersusun baik, namun setelah campur tangan pegawai lantikan politik menimbulkan kecelaruan.

“Inilah permainan politik oleh pegawai lantikan politik atau ‘Little Napoleon’ yang mencatur pergerakan dan hubungan pemimpin agar berlaku pertembungan atau tidak puas hati antara satu sama lain,” katanya di sini pada Ahad.

Pada Rabu, Sanusi mendakwa hubungan keruh antara negeri itu dengan Putrajaya bukan berpunca daripada Perdana Menteri, sebaliknya dicetuskan oleh peranan pegawai kerajaan Persekutuan dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) atau ‘Little Napoleon’ yang mahu memecahbelahkan hubungan kerajaan Persekutuan dengan negeri.

Beliau memaklumkan, tidak disediakan kerusi ketika tiba untuk menghadiri mesyuarat pre-council untuk membincangkan isu-isu berbangkit dalam pertemuan antara delegasi Malaysia-Thailand, menyebabkan terpaksa berdiri lama sebelum Anwar meminta kerusi untuk diberikan kepada beliau.

Susulan itu, pada Jumaat, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Menteri Besar Kedah itu tidak terlibat dalam mesyuarat pre-council bersama Perdana Menteri yang diadakan di Alor Setar sebelum lawatan ke Sadao.

Artikel Berkaitan:

Jelas kementerian itu, surat bertarikh 25 November kepada Ketua Setiausaha Sulit Sanusi dan Menteri Besar Kedah itu hanya dijemput menyertai program lawatan Anwar bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 27 November, tanpa menyebut mesyuarat pre-council.

Sanusi tegaskan, apa yang ingin disampaikan oleh beliau sudah pun dilakukan dan terserah kepada mana-mana pihak untuk menilai atau menafikan kebenaran.

“Biarlah, saya sudah jelaskan apa yang sepatutnya. Kenapa mereka nak ‘gelupoq’ (gelupur),” soalnya.

Sebelum ini, Sanusi turut kesal apabila isu berkenaan menjadi buah mulut ahli Parlimen dan tular di media sosial seolah-olah beliau seorang yang ‘bodoh’ dan mangsa ihsan.

Apabila isu berkenaan berbangkit di Parlimen, Anwar terpaksa membuat kenyataan dan digambarkan seolah mereka melakukan ihsan dengan membawa Sanusi walaupun tiada nama dalam jamuan tengah hari di Sadao dan mesyuarat pre-council.

“Ye lah, ‘gelupoq’ selepas jual nama saya di Parlimen, (kemudian keluarkan kenyataan) konon untuk ‘justify’ lah tu,” ujarnya dengan nada sinis.