'Little Napoleon’ keruhkan hubungan, bukan Anwar - Sanusi

Sanusi ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.
Sanusi ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa hubungan keruh antara negeri itu dengan Putrajaya bukan berpunca daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, ia dicetuskan oleh peranan pegawai kerajaan Persekutuan dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) atau dikenali sebagai ‘Little Napoleon’ yang mahu memecahbelahkan hubungan kerajaan Persekutuan dengan negeri.

Menurutnya, permainan politik ‘Little Napoleon’ amat bahaya kerana mencatur pergerakan dan hubungan pemimpin agar berlaku pertembungan atau tidak puas hati antara satu sama lain.

“Saya dijemput hadir dalam perundingan projek jajaran jalan menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, Thailand yang akan dibuat satu pintu masuk baharu bagi menangani kesesakan trafik di pintu sedia ada.

“Dalam jemputan itu, jadual penuh diberikan dari pagi hingga petang diuruskan pegawai tadbir diplomatik (PTD) PMO dan pejabat Menteri Besar Kedah berdasarkan prosedur biasa hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan negeri,” katanya dalam sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Sanusi jelaskan, beliau dijadualkan mengikuti rombongan bersama Perdana Menteri, sepenuhnya namun terdapat perubahan jadual dilakukan oleh pegawai Kementerian Luar pada saat akhir.

“Inilah yang saya maksudkan permainan politik oleh pegawai lantikan politik kerana jadual sediakan pegawai PTD tersusun baik, namun setelah campur tangan pegawai lantikan politik menimbulkan kecelaruan.

“Setibanya saya untuk hadir mesyuarat pre-council untuk bincang isu-isu dibangkitkan dalam pertemuan antara delegasi Malaysia-Thailand, kerusi untuk menteri besar tiada, saya berdiri sebelum Anwar meminta kerusi untuk diberikan kepada saya,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sepatutnya pegawai lantikan politik di pejabat mahupun agensi atau kementerian tidak boleh campur tangan dalam urusan pentadbiran kerana mereka akan meletakkan urusan politik sebagai keutamaan.

“Perdana Menteri dan menteri harus ambil perhatian perkara ini. Dalam jawapan Parlimen, Anwar sudah mainkan peranan beliau namun pegawai dia pula nampak ‘lebih sudu daripada kuah’.

“Saya beri ingatan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, pada masa depan jangan biarkan pegawai lantikan politik atur bos-bos untuk berkelahi. Patutnya sebagai pegawai aturlah bagi bos-bos berbaik, barulah kedua-dua pihak akan sejuk,” jelasnya.

Sanusi maklumkan berasa terhina atas perbuatan tersebut namun menyifatkan ia permainan pegawai tertentu supaya beliau ‘menyerang’ Perdana Menteri.

“Rundingan Sadao dimainkan sebagai isu politik, menghina Menteri Besar Kedah. Namun saya tak akan serang Anwar kerana pada hari tersebut beliau menunjukkan sikap sebagai Perdana Menteri cuma pegawai yang menyusun program berkenaan bermain politik.

“Apabila isu itu berbangkit di Parlimen, Perdana Menteri terpaksa main politik juga. Digambarkan seolah mereka melakukan ihsan dengan membawa Menteri Besar Kedah walaupun tidak ada nama dalam jamuan tengah hari,” ujarnya.

Sanusi kesal kerana isu berkenaan menjadi bualan ahli Parlimen dan tular di media sosial seolah-olah beliau seorang yang ‘bodoh’ dan mangsa ihsan.

“Saya Menteri Besar mewakili Kedah, saya bukan Sanusi (dalam kedudukan itu). Pegawai lantikan politik harus belajar hormati bidang kuasa. Jangan pentingkan dendam politik dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Pegawai-pegawai selekeh seperti itu tidak patut berada di pejabat Perdana Menteri dan pejabat menteri,” katanya lagi.