Noktah Wawasan 2020

A
A
A

SAMBUTAN tahun baru kali ini pasti merupakan satu catatan sejarah yang sukar dilupakan kerana 30 tahun lalu, atau lebih tepat pada tahun 1991, Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membentangkan sebuah kertas kerja The Way Forward - Vision.

Kertas kerja itu yang kemudiannya dikenali sebagai Wawasan 2020 dikatakan hala tuju kerajaan dalam memacu pembangunan negara selama 30 tahun (1991-2020) selepas berakhirnya Dasar Ekonomi Baru (1971-1990).

Wawasan 2020 bermatlamat mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara bersatu dengan masyarakat Malaysia yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur, mempunyai penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang bersaing, dinamik, cergas dan kental.

Dr Mahathir meletakkan sasaran untuk mewujudkan masyarakat makmur bagi menggandakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar kita setiap 10 tahun antara 1990 dan 2020.

Dalam ucapan tersebut, Dr Mahathir berkata, “Jika kita lakukan ini, KDNK kita akan menjadi lapan kali lebih besar menjelang tahun 2020 berbanding 1990. KDNK kita pada 1990 ialah RM115 bilion. KDNK kita pada 2020 patut menjadi kira-kira RM920 bilion dalam nilai sebenar (ringgit pada 1990).”

Dr Mahathir mungkin tidak menyangka bahawa nilai KDNK negara melepasi angka tersebut pada 2012 (RM971 bilion). Pada 2017, nilai KDNK negara telah mencecah trilion ringgit.

Sudah tentu jumlah KDNK semata-mata tidak menjadikan Wawasan 2020 sebuah program yang berjaya. Malah jumlah KDNK itu juga mungkin tidak sama nilainya dengan ringgit pada 1990.

Pada 1991, Dr Mahathir mengingatkan bahawa “orang awam mesti memahami apa yang menyebabkan inflasi dan cukup berdisiplin untuk memeranginya. Di sesetengah negara, apabila kadar inflasi meningkat sehingga beribu-ribu peratus setahun, kerajaan sentiasa bertukar-tukar tanpa dapat membendung inflasi... Dalam usaha menentang inflasi, tidak ada yang lebih berkesan daripada pendidikan dan sikap disiplin rakyat.”

Artikel Berkaitan:

Malangnya, Dr Mahathir sendiri telah menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), satu sistem percukaian yang dalam jangka masa panjang akan mengawal inflasi melalui disiplin perbelanjaan rakyat dan penentuan harga oleh penjual.

Dr Mahathir juga memasuki semula politik dengan menentang semua rancangan pembangunan infra moden seperti MRT, ECRL, HSR. Ia dituduh sebagai pembaziran dan menyebabkan hutang negara bertambah.

Apabila menang, banyak projek pembangunan infra moden diracik-racik, dibatal dan ditunda sehinggakan pelan jaringan pengangkutan yang menyeluruh menjadi terencat dan dan terpisah-pisah seperti negara dunia ketiga.

Pengurusan kerajaan turut menjadi caca-marba dan hilang pedoman. Keputusan-keputusan kerajaan berubah-ubah seolah-olah tiada kajian sebelum diputuskan.

Menteri-menteri lebih bersuka ria membuat kenyataan di media sosial berbanding menguruskan kementerian masing-masing dengan tertib dan teratur.

Perbalahan terbaharu dalam kalangan menteri mengenai elaun kritikal penjawat awam adalah antara rentetan panjang kegagalan urus tadbir profesional kerajaan sejak pilihan raya lalu.

Gagal

Sebahagian besar dalam sembilan cabaran Wawasan 2020 yang digariskan oleh Dr Mahathir adalah berteraskan pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, hidup harmoni, bertolak ansur, berakhlak dan bermoral.

Dari segi pembangunan sahsiah, Dr Mahathir bukan sahaja gagal memperbaiki moral rakyat, malah beliau kembali sebagai Perdana Menteri dengan menjanjikan pengganti seterusnya adalah seorang yang terkait skandal seks luar tabii.

Ada menteri Kabinet kepercayaan Dr Mahathir hari ini merupakan individu-individu yang terpalit dengan skandal seks luar tabii dan luar nikah.

Dari segi perpaduan rakyat, ia juga merosot dengan teruk apabila kemenangan parti Dr Mahathir dalam pilihan raya lalu telah mewujudkan perasaan syak wasangka besar antara masyarakat bumiputera dan bukan bumiputera, antara masyarakat Islam dengan bukan Islam.

Buat kali pertama dalam sejarah, kepentingan-kepentingan bumiputera dan Islam dicabar oleh kerajaan sendiri.

Mereka yang cauvinis dan sebelum ini terkenal dengan gerakan memfitnah agenda Melayu dan Islam di negara sehingga ke luar negara, telah diangkat sebagai menteri kerajaan hari ini.

Sukar untuk kita menerima bahawa tangan yang merancang itulah juga tangan yang meruntuhkannya.

Namun itulah realitinya, Wawasan 2020 dirancang oleh Dr Mahathir Perdana Menteri keempat sebagai the way forward (jalan ke hadapan), akhirnya ia digagalkan oleh tangan Dr Mahathir juga sebagai Perdana Menteri ketujuh yang sedang menuju jalan ke belakang.

* Abd Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)