'Misi besar' Ahmad Samsuri di Parlimen

Ahmad Samsuri berjaya memenangi kerusi Parlimen Kemaman setelah keputusan rasmi diumumkan di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman. - Foto Bernama
Ahmad Samsuri berjaya memenangi kerusi Parlimen Kemaman setelah keputusan rasmi diumumkan di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman apabila menewaskan pencabarnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan majoriti 37,220 undi menerusi pertembungan satu lawan satu.

Ahmad Samsuri, 53, mewakili Pas memperoleh 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi, 66, yang merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia mewakili Barisan Nasional (BN) mendapat 27,778 undi.

Kemenangan Naib Presiden Pas itu mengekalkan status quo parti, malah jauh lebih besar berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menerusi calonnya, Che Alias Hamid.

Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi berkenaan apabila memperoleh 65,714 undi, menewaskan Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi dengan majoriti 27,179 undi. Dua lagi calon yang bertanding ialah Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan), masing-masing mendapat 506 dan 8,340 undi.

Laporan muka depan Sinar Ahad.
Laporan muka depan Sinar Ahad.

PRK Kemaman merupakan PRK keenam diadakan selepas PRU15 susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan Che Alias.

Berasal dari Besut, Ahmad Samsuri yang dikenali sebagai ‘Dr Sam’ dalam kalangan Pas mempunyai ijazah PhD dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa.

Beliau pernah menjadi pensyarah universiti dan setiausaha politik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 2008 ketika berusia 38 tahun.

Artikel Berkaitan:

Dengan kemenangan Ahmad Samsuri, tumpuan kini terarah kepada agenda PN meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu sebagai calon PRK Kemaman.

Ini berikutan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini memberitahu, Pas mempunyai ‘agenda besar’ dengan membawa Samsuri ke Parlimen.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, kemenangan membolehkan Samsuri membawa isu berkaitan rakyat Terengganu secara terus kepada menteri berkaitan.

“Beliau boleh bertanyakan terus soalan atau mengemukakan segala masalah dihadapi rakyat Terengganu kepada menteri, atau mengemukakan soalan semasa sesi soal jawab di sesi Dewan Rakyat,” katanya kepada Sinar Ahad.

Hussain Yusri turut berpandangan, Ahmad Samsuri merupakan antara calon terbaik diketengahkan sebagai Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang PRU16 kelak.

Malah, katanya, ketokohan dan kepimpinan Ahmad Samsuri turut diakui dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Samsuri tewaskan calon BN dengan majoriti 37,220 undi menerusi pertembungan satu lawan satu.
Ahmad Samsuri tewaskan calon BN dengan majoriti 37,220 undi menerusi pertembungan satu lawan satu.

“Namun kalau nak melantik Samsuri sebagai Perdana Menteri dalam masa terdekat, agak sukar dan mustahil kerana jumlah sokongan dimiliki koalisi Kerajaan Perpaduan sekarang lebih 150 kerusi, pembangkang hanya mempunyai sokongan 69 ahli Parlimen.

“Tapi, koalisi kerajaan yang dianggotai BN dan PH akan menghadapi masalah besar jika PN menamakan Ahmad Samsuri sebagai poster boy atau calon Perdana Menteri mereka dalam kempen PRU16 kelak,” ujarnya.

Tambah Hussain Yusri, keputusan PRK Kemaman menunjukkan Pas bukan lagi sebuah parti konservatif yang hanya bercakap soal agama Islam dan kepentingan Melayu.

“Pas kini dilihat semakin diterima rakyat pelbagai kaum kerana berani menampilkan golongan profesional dan teknokrat sebagai calon mereka,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!