100 hari pentadbiran: Kedah disaran manfaat kelebihan jana ekonomi

Bandaraya Alor Setar memiliki banyak tempat bersejarah untuk dilawati, sesuai dibangunkan pelancongan sejarah sebagai tarikan. Gambar kecil: Ahmad Zaharuddin Sani
Bandaraya Alor Setar memiliki banyak tempat bersejarah untuk dilawati, sesuai dibangunkan pelancongan sejarah sebagai tarikan. Gambar kecil: Ahmad Zaharuddin Sani
A
A
A

ALOR SETAR - Pentadbiran negeri Kedah yang menginjak usia 100 hari bawah kepimpinan Perikatan Nasional (PN) perlu digarap sebaiknya khususnya selepas pembentangan Belanjawan 2024 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, Sanusi perlu memastikan pasukan pentadbirannya seiringan dengan agenda beliau dalam memajukan Kedah, selain tidak mengambil sikap ‘pukul rata’ dan perlu memilih beberapa projek sebagai keutamaan.

Menurutnya, antara tumpuan ialah memanfaatkan kelebihan yang ada di negeri Jelapang Padi dengan memfokus kepada pembangunan sektor pertanian, pelancongan dan pendidikan sebagai teras dalam menjana ekonomi bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Dalam tempoh sebelum 100 hari, Sanusi mungkin berdepan cabaran untuk mencari pasukan Exco yang seiring dengan kehendak beliau. Ia penting kerana sebuah pasukan harus dianggotai pemimpin yang memiliki hala tuju sama.

“Mungkin terlalu awal untuk kita hakimi apa dilaksanakan oleh Kedah, intipati dalam belanjawan yang dibentangkan adalah perancangan lima tahun dan perlukan masa untuk dinilai,” katanya di sini pada Sabtu.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, untuk menjayakan perancangan Belanjawan 2024, Sanusi seharusnya hanya fokus kepada beberapa agenda tertentu tanpa melihat kepada semua perkara dalam menuju ke arah The Greater Kedah.

“Projek yang berfokus dapat diberikan lebih tumpuan agar beliau boleh meninggalkan legasi yang baik selepas ini,” jelasnya.

Menurutnya, sektor pertanian harus dijadikan batu loncatan untuk Kedah muncul sebagai negeri yang lebih hebat pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Ini masanya untuk Kedah jadikan pertanian sebagai elemen dalam menjayakan setiap projek, antaranya tawar-menawar dengan Persekutuan kerana bidang kuasa pertanian banyak terletak bawah negeri.

“Maksudnya, Kedah boleh jadikan pertanian sebagai sesuatu yang boleh dijadikan pendorong kejayaan dalam menjayakan agenda tertentu.

“Contohnya, ketika negara dilanda krisis bekalan makanan khususnya beras, Kedah boleh memainkan peranan kerana 40 peratus pengeluaran beras negara adalah dari negeri ini,” jelasnya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, sehubungan itu Kedah wajar memiliki pelan dalam meningkatkan hasil pertanian agar menjadi dominasi utama negeri dalam tempoh tiga tahun ini.

“Jangan terlampau ikut rentak negeri lain, setiap negeri ada kelebihan masing-masing. Kelebihan ini (pertanian) ada di Kedah jadi manfaatkan ia sebagai batu loncatan untuk jadi negeri lebih hebat,” katanya.

Menurutnya lagi, aspek kedua yang harus diberikan tumpuan ialah pelancongan baharu, dengan memperkenalkan konsep pelancongan sejarah.

“Selain Alor Setar, daerah Kuala Muda juga berpotensi kerana bermulanya sejarah tamadun Kedah dan wajar dibangunkan sebagai elemen pelancongan sejarah.

“Wujudkan kembali suasana permulaan zaman besi yang dilakonkan semula di Tapak Arkeologi Sungai Batu sebagai tarikan utama dunia untuk melihat sejarah zaman besi Kedah sebagai tarikan,” ujarnya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, ketengahkan kehebatan Kedah selari dengan The Greater Kedah menerusi elemen pelancongan sejarah agar menjadi perintis kepada negeri lain.

“Fokus ketiga ialah pendidikan yang boleh menjadi punca pendapatan dan menjana ekonomi dengan adanya institusi pengajian tinggi (IPT) sedia ada. Jadikan ia platform menarik pelajar dari luar negara,” jelasnya.

Menurutnya, untuk menjayakan perancangan ini, perbincangan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) wajar diadakan untuk memperkenalkan konsep baharu sebagai tarikan, seperti menawarkan levi tertentu kepada pelajar antarabangsa.

“England dan Australia berjaya menjayakan program pendidikan ekonomi ini, jangan dilupa model Universiti Al- Azhar yang boleh dijadikan panduan,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani tegaskan, Kedah harus segera fokuskan perancangan projek mega apatah lagi krisis antara negeri itu dengan Persekutuan agak ketara dan dibimbangi boleh merencatkan perancangan sedia ada.

“Kita harap Kedah terus berusaha untuk tingkatkan hasil dan memberi impak positif kepada penduduk dengan meninggalkan legasi baik untuk diwarisi generasi akan datang,” ujarnya lagi.