Tiga wakil PH jadi pemantau pentadbiran negeri Kedah

Adam Loh menemui pengundi bagi merakamkan ucapan terima kasih atas kemenangannya di DUN Bakar Arang.
Adam Loh menemui pengundi bagi merakamkan ucapan terima kasih atas kemenangannya di DUN Bakar Arang.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kewujudan tiga kerusi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah berperanan sebagai semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai berkata, sebagai wakil rakyat pembangkang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah, tugasnya tidak terhenti setakat itu malah berterima kasih kepada pengundi N28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang yang menyokong beliau sekali gus mendukung kepimpinan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

Menurutnya, mewakili PH, beliau akan memantau pentadbiran negeri dan pada masa sama tidak akan menolak untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat.

"Sekiranya kerajaan negeri mahu berbincang untuk kebaikan dan pembangunan di kawasan ini, saya sedia beri bekerjasama demi rakyat," katanya ketika menemui pengundi bagi merakamkan terima kasih atas kemenangan di Taman Keladi pada Ahad.

Adam Loh menyifatkan kemenangannya di DUN Bakar Arang sebagai kesinambungan sokongan pengundi terhadap perkhidmatan mantan ADUN Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min yang menang pada PRU14 yang lalu.
Adam Loh menyifatkan kemenangannya di DUN Bakar Arang sebagai kesinambungan sokongan pengundi terhadap perkhidmatan mantan ADUN Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min yang menang pada PRU14 yang lalu.



Jelasnya, pada masa sama, beliau akan meminta perhatian Kerajaan Perpaduan untuk memberi tumpuan terhadap keperluan rakyat di kawasan berkenaan.

Kemenangan yang berpihak kepadanya disifatkan jelas menunjukkan bahawa pengundi menghargai jasa dan perkhidmatan mantan ADUN Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Perkhidmatan Simon Ooi sebelum ini telah memberi keyakinan kepada pengundi untuk terus mendukung kepimpinan Kerajaan Perpaduan, Malaysia Madani," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14, Simon Ooi menang dengan majoriti 10, 833 undi apabila memperolehi 18,440 undi mengalahkan empat calon lain termasuk Othman Che Mee (Pas), Ko Hung Weng (BN), Tan Kee Chye (PRM) dan Tan Hock Huat (Bebas).

Adam Loh bagaimanapun berjaya mengekalkan kedudukan PKR-PH pada PRN PRU15 apabila mempertahankan kerusi itu setelah menang dengan majoriti 3,683 undi setelah mendapat 21,889 undi mengalahkan Tan Kee Chye (PRM) dan Tai Kuang Tee (PN-Gerakan).

Selain Adam Loh, PH turut menang di kerusi N13 DUN Kota Darul Aman yang diwakili Teh Swee Leong (DAP) dan N29 DUN Sidam yang diwakili Bau Wong Bau Ek (PKR).

PH mewakili tiga kerusi daripada keseluruhan 36 DUN di Kedah pada PRN Sabtu lalu.