MyCARE kutip RM3.6 juta bantu rakyat Palestin

Pihak Pasar Raya Econsave dan KMJ menyerahkan sumbangan cek kepada MyCARE Johor dalam Program Jualan Amal Gaza di tapak parkir Pasar Raya Econsave Taman Teratai, Johor Bahru pada Sabtu.
Pihak Pasar Raya Econsave dan KMJ menyerahkan sumbangan cek kepada MyCARE Johor dalam Program Jualan Amal Gaza di tapak parkir Pasar Raya Econsave Taman Teratai, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) sudah menyalurkan bantuan kecemasan RM3.6 juta ke Gaza sejak perang Palestin-Israel meletus sejak 7 Oktober lalu.

Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani berkata, bantuan itu melibatkan empat fasa dengan fasa pertama sebanyak RM500,000 disalurkan menerusi pejabat MyCARE di Gaza yang diuruskan wakil badan bukan kerajaan (NGO) tersebut di Gaza, Dr Ziad Shehada.

"Fasa kedua RM500,000 menerusi Ops Ihsan hasil dengan kerjasama kerajaan Malaysia dan gabungan NGO manakala fasa ketiga sebanyak RM1.1 juta juga melalui wakil MyCARE di Gaza.

"Fasa keempat juga RM1.1 juta disalurkan dengan kerjasama Medic Worldwide yang mempunyai gudang dan operasi di Mesir.

"Bantuan fasa satu sehingga tiga adalah dalam bentuk makanan manakala fasa keempat dalam bentuk pakaian tebal untuk menghadapi musim sejuk, perubatan dan kemudahan ambulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Jualan Amal Gaza anjuran Kelab Media Johor (KMJ), Pasar Raya Econsave dan MyCARE di tapak parkir Pasar Raya Econsave Taman Teratai, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam dan Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak.

Rozi berkata, bantuan bagi fasa kelima akan cuba disalurkan dalam bulan ini namun bergantung kepada keadaan semasa di Gaza.

Artikel Berkaitan:

Rozi (kanan) dan Fauzi (kiri) melepaskan peserta konvoi motosikal kuasa besar dan pacuan empat roda dalam Program Jualan Amal Gaza di tapak parkir Pasar Raya Econsave Taman Teratai, Johor Bahru pada Sabtu.
Rozi (kanan) dan Fauzi (kiri) melepaskan peserta konvoi motosikal kuasa besar dan pacuan empat roda dalam Program Jualan Amal Gaza di tapak parkir Pasar Raya Econsave Taman Teratai, Johor Bahru pada Sabtu.

"Kutipan akan dilakukan berterusan sehingga Palestin pulih walaupun selepas perang kerana kemusnahan di Gaza sangat teruk. Bangunan runtuh. Bantuan kemanusiaan akan berterusan bersama Econsave dan agensi lain.

"Gencatan senjata pada Khamis telah berakhir tetapi kita dapati laporan wakil MyCARE di Gaza, mereka dalam keadaan yang getir tetapi tetap turun padang sampaikan bantuan kepada masyarakat di sana. Mereka gadaikan nyawa mereka agar bantuan sampai. Kita harap bantuan sampai dan rakyat Palestin dapat teruskan kehidupan," ujarnya.

Sementara itu, Mas Imran berkata, Pasar Raya Econsave menyasarkan kutipan RM500,000 menerusi Tabung Kecemasan Palestin sehingga akhir bulan ini.

Setakat ini katanya, tabung berkenaan yang dilancarkan pada 14 Oktober lalu dengan kerjasama MyCARE Johor sudah mengutip RM200,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia menerusi tabung berkenaan yang diletakkan di 94 cawangan Econsave seluruh negara.

"Selain kutipan tersebut, pihak Econsave sendiri akan menyumbang RM100,000 kepada rakyat Palestin antaranya dalam bentuk barangan, makanan kering, air mineral dan lampin yang akan masuk dari sempadan Rafah," katanya.

Mas Imran (kiri) dan Fauzi (tengah) melawat booth jualan dalam Program Jualan Amal Gaza di tapak parkir Pasar Raya Econsave Taman Teratai, Johor Bahru pada Sabtu.
Mas Imran (kiri) dan Fauzi (tengah) melawat booth jualan dalam Program Jualan Amal Gaza di tapak parkir Pasar Raya Econsave Taman Teratai, Johor Bahru pada Sabtu.

Dalam pada itu, Fauzi berkata, pihak KMJ menyumbang RM5,000 untuk tabung Palestin dan bercadang menjadikan program tersebut sebagai acara tahunan.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia berhasrat menjadikan program tersebut di peringkat nasional selepas ini bagi membantu mangsa perang di Palestin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!