MFL sedia pinjam VAR untuk aksi Harimau Malaya

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) sedia untuk meminjamkan peralatan teknologi video bantuan pengadil (VAR) untuk sebarang perlawanan membabitkan pasukan Harimau Malaya.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya tiada masalah untuk berkongsi peralatan tersebut jika ada permintaan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata, ia juga menjadi satu bentuk bantuan daripada pihak MFL untuk pasukan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam usaha menjadikan perlawanan lebih berkualiti.

“Semestinya kalau ada keperluan dari AFC untuk perlawanan pasukan kebangsaan atau ada permintaan daripada FAM untuk menggunakan VAR di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Sudah tentu kita (MFL) akan berikan untuk kegunaan Harimau Malaya," katanya.

Sebelum ini, empat set VAR sudah dibeli oleh MFL untuk digunakan dalam aksi Liga Malaysia musim depan.

Sesi latihan VAR itu kini dalam fasa ketiga dan MFL akan memohon kelulusan daripada FIFA pada Februari tahun depan sebelum ia boleh dilaksanakan dalam saingan liga domestik pada April.

Untuk rekod, Harimau Malaya akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil tahun depan untuk dua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 23 Mac menentang Oman dan pada 11 Jun menentang Taiwan.

Artikel Berkaitan: