Malaysia Madani wujudkan model tadbir urus berpaksi surah al-Insan

Mohd Na'im ketika menyampaikan ucapan pembuka 'Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan' sempena World #Quranconvention 2023 di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA, pada Sabtu.
Mohd Na'im ketika menyampaikan ucapan pembuka 'Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan' sempena World #Quranconvention 2023 di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA, pada Sabtu.
A
A
A

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Dasar kerajaan Malaysia Madani mewujudkan model tadbir urus yang berpaksikan surah al-Insan iaitu kemanusiaan melalui prinsip dan moral yang menggalakkan persefahaman, belas kasihan, penghargaan, saling menghormati serta menyayangi sesama masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, elemen utama dalam surah al-Insan perlu diambil kira dalam usaha membangunkan nilai-nilai kemanusiaan sama ada di peringkat individu atau kolektif.

"Pertamanya, al-Insan berfungsi sebagai seruan dan peringatan sejagat. Tidak kira agama, bangsa, atau dari mana mereka berasal, bab ini menghantar mesej kepada semua manusia.

"Kedua, surah tersebut menawarkan pandangan holistik tentang sifat manusia kita dan membentangkan panduan tentang tugas sosial, tingkah laku moral dan intipati rohani sebagai manusia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembuka 'Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan' sempena World #QuranConvention 2023 di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA, pada Sabtu.

Selain itu, ujar beliau, al-Insan turut mengetengahkan soal kepentingan maruah dan kesejahteraan di mana ia menyerlahkan elemen-elemen penting termasuk kebijaksanaan, keadilan, cabaran hidup, serta kesusahan.

Tambahnya, elemen di dalam surah berkenaan juga menghuraikan nilai etika manusia sejagat iaitu bersyukur, sabar, baik hati, empati, saling hormat menghormati, beramal dan membantu orang lain.

"Kelima, surah al-Insan mencerminkan jalan rohani manusia untuk mencari hubungan yang mendalam dengan Pencipta mereka.

Artikel Berkaitan:

"Terakhir, bab itu juga bercakap tentang kejayaan muktamad, al-Falah, baik dalam kehidupan ini dan akhirat, di mana menanti mereka yang hidup dengan amal soleh," ujarnya.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli ke konvensyen sehari anjuran Yayasan Warisan Ummah (WUIF) dan Bayyinah Institute itu.

Programitu turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

World #QuranConvention (WQC) bertemakan ‘Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan’ merupakan sebuah program berasaskan al-Quran bertaraf antarabangsa buat julung kali diadakan.

Penyertaan melibatkan peserta dari Australia, Belgium, Brunei, Kanada, Jerman, Perancis, Indonesia, India, Mesir, Indonesia, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Nigeria dan Palestin.

Antara penceramah jemputan ialah Ustaz Nouman Ali Khan dari Amerika Syarikat sebagai Pengarah World #QuranConvention 2023, Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Dr KH Nasaruddin Umar dan Pengasas Ibn ‘Ashur Centre, Dr Sohaib Hussein.