1,800 dijangka hadiri majlis World #QuranConvention

Poster rasmi World #QuranConvention yang akan diadakan pada 2 Disember akan datang. (Gambar kecil: Marhaini, Nazlina)
Poster rasmi World #QuranConvention yang akan diadakan pada 2 Disember akan datang. (Gambar kecil: Marhaini, Nazlina)
A
A
A

SHAH ALAM - Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA, Sepang bakal menjadi tumpuan buat lebih 1,800 peserta dari dalam dan luar negara sempena penganjuran World #QuranConvention (WQC) “Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan" yang akan berlangsung pada Sabtu.

Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Nazlina Mohd Isa berkata, World #QuranConvention merupakan sebuah program berasaskan al-Quran dan bertaraf antarabangsa yang julung kali diadakan di Movenpick.

Tambahnya, majlis berkenaan akan mengumpulkan peserta dari seluruh pelosok dunia bagi membumikan al-Quran dengan isu-isu yang merangkumi pelbagai aspek.

“Konvensyen sehari anjuran Yayasan Warisan Ummah (WUIF) dan Bayyinah Institute ini membantu peserta untuk memaknai mesej al-Quran seterusnya mengaplikasikan dalam kehidupan diri, keluarga, organisasi dan negara," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai pusat berkenaan, Nazlina menjelaskan bahawa Movenpick dimiliki oleh Lembaga Tabung Haji dan dikendalikan di bawah pengurusan hotel Accor, iaitu sebuah syarikat antarabangsa berpangkalan di Perancis.

"Kelebihan Movenpick yang berkonsep Islamik dan berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi tarikan ramai penganjur untuk mengadakan acara di sini. Kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada agensi kerajaan, agensi korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan acara perasmian, hari penyampaian anugerah dan mesyuarat," katanya.

Dalam pada itu tegasnya, pihak mereka juga amat menitikberatkan isu pematuhan syariah termasuk memiliki sijil halal.

"Selain pusat konvensyen, kita menyediakan 332 bilik penginapan yang serba lengkap termasuk penyediaan kit solat seperti sejadah, telekung dan al-Quran terjemahan. Movenpick juga menyediakan 17 bilik alternatif sebagai bilik mesyuarat bagi kumpulan kecil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bangunan Movenpick seperti bentuk rebung direka oleh syarikat Hijjas Kasturi dengan reka bentuk bangunan yang mempunyai makna tersendiri, seperti tangan orang berdoa.

Movenpick telah memenangi anugerah Platinum dalam pensijilan pengiktirafan Penginapan Pelancongan Mesra-Muslim (MFAR) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Islamic Tourism Centre (ITC) pada Ogos 2023. Ia juga dinobatkan sebagai Bangunan Komersil Hijau Baharu Terbaik oleh Malaysia Green Buildings Council (MGBC) pada 15 September 2020.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, konvensyen kali ini disertai oleh hadirin yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pihak istana.

Katanya, turut akan hadir ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan mencemar duli ke majlis berkenaan.

Selain itu turut bersama pada majlis itu nanti, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

“Keberangkatan DYMM Tengku Permaisuri Selangor ke World#QuranConvention dapat menyatukan Institusi Raja dengan rakyat hingga lahir perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa.

“Peserta yang terdiri daripada individu, keluarga, organisasi, badan bukan kerajaan, ilmuwan,dan profesional diharapkan dapat memanfaatkan ilmu dan maklumat yang diterima, seterusnya memperkasakan industri hospitaliti dan meningkatkan sektor ekonomi negara secara langsung,” katanya.

Selain itu, antara peserta dari luar negara yang hadir ialah dari Australia, ⁠Belgium, ⁠Brunei, ⁠Kanada, ⁠Jerman, Perancis, ⁠Indonesia, India, Mesir, ⁠Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Nigeria dan Palestin.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.worldquranconvention.com/