SPRM Selangor terima 325 aduan sehingga Oktober

Alias
Alias
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor menerima sejumlah 325 aduan daripada pelbagai pihak pada tahun ini sehingga Oktober.

Pengarah SPRM Negeri Selangor Datuk Alias Salim berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 160 fail siasatan telah dibuka untuk tujuan penyiasatan.

Beliau berkata, siasatan yang dilakukan itu melibatkan kes berunsur rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

"Dalam tempoh itu juga sebanyak 44 individu telah ditangkap dan seramai 37 orang telah dihadap ke muka pengadilan.

"Sokongan dan komitmen masyarakat memainkan peranan penting bagi memastikan Malaysia bebas rasuah.

"Ia selaras dengan segala usaha SPRM ke arah mewujudkan masyarakat yang menolak rasuah," katanya pada Jumaat.

Alias (tengah) bersama pengamal media dan petugas SPRM semasa pertandingan bowling persahabatan media dan SPRM Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Alias (tengah) bersama pengamal media dan petugas SPRM semasa pertandingan bowling persahabatan media dan SPRM Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika sesi bual bicara bersama pengamal media selepas mengadakan pertandingan bowling persahabatan bersama media.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Alias berkata, kemajuan pesat dalam dunia teknologi hari ini memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat dengan cepat dan tepat.

Sehubungan itu kata beliau, pihak media perlu memainkan peranan besar dalam menyebar luas mesej antirasuah.

Jelas beliau, perkara itu penting dalam mendidik masyarakat membenci dan memerangi segala bentuk rasuah serta salah guna kuasa.