Ratu Naga saman kerajaan isu Himpunan Selamatkan Malaysia

Laporan Sinar Harian (Syarul Ema Rena - Foto FB Ratu Naga)
Laporan Sinar Harian (Syarul Ema Rena - Foto FB Ratu Naga)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktivis, Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah memfailkan saman pemula terhadap kerajaan pada 8 November berhubung satu perhimpunan awam di sekitar ibu kota pada 16 September lalu.

Syarul Ema Rena, 43, mengemukakan saman secara dalam talian itu di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menerusi Tetuan Daim & Gamany selaku plaintif dengan menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan tunggal.

Wanita itu memohon deklarasi bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak boleh dikuatkuasakan menurut perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 25 April 2014.

Menurut dokumen yang difailkan, saman pemula itu disokong oleh afidavit dengan menyatakan bahawa pihak polis di Balai Dang Wangi telah merekodkan keterangan plaintif pada 19 September lalu, iaitu tiga hari selepas perhimpunan itu berlangsung.

Plaintif mendakwa, siasatan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 9(5) dengan peruntukan hukuman denda tidak melebihi RM10,000, sedangkan seksyen berkenaan tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan kerana ia telah diisytiharkan oleh Mahkamah Rayuan sebagai batal.

Susulan itu, plaintif memfailkan saman ini bagi melindungi dirinya daripada risiko atau sebarang kesan buruk yang boleh diambil oleh defendan.

"Saya telah dinasihati peguam berhubung isu ini, kerana percaya apa-apa siasatan di bawah seksyen itu perlu dibatalkan dan tidak wujud dalam undang-undang, selain melanggar Fasal 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Polis Diraja Malaysia (PRDM) merupakan sebahagian daripada Kerajaan Malaysia, iaitu defendan di dalam saman pemula ini, maka pihak itu mempunyai tanggungjawab untuk menguatkuasakan hak-hak asasi yang dijamin kepada saya di bawah Bahagian II, Perlembagaan Persekutuan khususnya Fasal 5(1)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dia berkata, tindakan undang-undang itu juga dibuat untuk melindungi dirinya daripada risiko atau kesan buruk yang boleh diambil oleh defendan, kakitangan-kakitangan atau ejennya.

Menurutnya, usaha itu ialah untuk kepentingan awam bagi mahkamah memberikan perintah yang dipohon di dalam ini kerana ia akan melindungi warganegara daripada tindakan kerajaan di bawah peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang tidak lagi sah.

Pada 16 September lalu, sekumpulan individu berbaju putih berhimpun sekitar kawasan Masjid Jamek Kampung Baru dekat sini bagi menyertai Himpunan Selamatkan Malaysia.

Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian, kumpulan itu mengenakan baju itu sebagai simbol bagi menyatakan bantahan susulan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan kes jenayah di mahkamah.

Pada masa yang sama, mereka turut melilit kain putih yang ditulis '#Selamatkan Malaysia' di kepala serta memakai selendang bercorak 'Jalur Gemilang'.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis telah merakam keterangan beberapa individu termasuk Ratu Naga bagi membantu siasatan berkaitan Himpunan Selamatkan Malaysia di ibu negara, pada tarikh tersebut.