X

Kindly register in order to view this article
!

'Wajib isytihar jihad pihak cetus kebencian bahasa asal Melayu'

Abdul Hadi - Foto fail Bernama
A
A

SHAH ALAM - Menjadi satu kewajipan bagi umat Islam mengisytiharkan jihad terhadap mereka yang menimbulkan kebencian terhadap bahasa asal Melayu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sikap ditonjolkan pihak terbabit disifatkan sebagai agenda penjajah yang pernah ditolak oleh rakyat suatu ketika dahulu kerana merosakkan jati diri terhadap Islam dan penganutnya.

Namun begitu, katanya, penjajah ketika itu tidak mengganggu bahasa Cina, Tamil atau bahasa daripada kaum lain yang bukan Islam.

"Ini boleh dilihat apabila tulisan bahasa Melayu berhuruf al-Quran yang juga warisan asal bahasa Melayu sengaja dirosakkan demi menjayakan agenda penjajah.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya nak belajar jawi tapi janganlah paksa: Arun Dorasamy

Kongres Jawi Kebangsaan usul resolusi tangguh jawi di sekolah

"Oleh itu, menjadi kewajipan kepada kaum Melayu untuk kembali kepada tulisan asalnya iaitu jawi yang telah dirosakkan oleh penjajah barat.

"Pihak yang mengambil langkah benci terhadap bahasa Melayu berhuruf jawi hari ini dilihat terlampau ekstrem dan boleh mengundang bencana dan padah yang besar, laksana menjolok sarang tebuan yang sangat besar bencana dan padahnya," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam sebagai mengulas usaha pihak tertentu menolak agenda pemerkasaan bahasa Melayu.

Ahli Parlimen Marang itu turut menegaskan bahawa kaum lain yang datang ke Tanah Melayu diberi hak menggunakan bahasa ibunda mereka, bagaimanapun wajib mempelajari bahasa 'alam Melayu' tersebut.

"Jangan bersikap fanatik dengan bahasa kaum mereka di negeri asal-usul dan berputar melawan arus di 'alam Melayu' ini.

"Ingat bahawa rumpun Melayu yang beragama Islam tidak fanatik tetapi menjadi hak mereka memperkasakan bahasa Melayu di 'alam Melayu' sehingga telah pun berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan pelbagai kaum selain menjadi bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi menolak dakwaan tulisan jawi digunakan untuk menyebarkan agama Islam.

Beliau sebaliknya berkata, dakwah Islam lebih mudah sekiranya ia disampaikan dalam bahasa Ibunda masyarakat bukan Islam dan bukannya dengan menggunakan tulisan Jawi.

Bahkan, katanya, orang Islam turut digalakkan mempelajari pelbagai bahasa di dunia termasuk bahasa Cina dan Tamil serta tidak memaksa orang bukan Islam menukar bahasanya selepas memeluk Islam.

"Sebenarnya, tujuan bahasa ialah untuk menjalinkan hubungan lebih erat dengan masyarakat di alam Melayu ini kerana lebih mudah menarik bukan Islam kepada Islam dengan bahasa ibunda masing-masing berbanding menerusi tulisan jawi.

"Maka janganlah jadikan satu-satunya sebab masuk Islam kerana tulisan jawi," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan penentangan terhadap bahasa Melayu tulisan jawi berpunca daripada pengaruh Islamofobia yang sedang ditaja musuh-musuh Islam di seluruh dunia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!