'Harapkan pagar, pagar makan padi'

Paul Yong dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi pada Rabu selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 2019. - Foto Bernama
Paul Yong dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi pada Rabu selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 2019. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed menyifatkan perbuatan rogol dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong terhadap pembantu rumahnya warga Indonesia seperti 'harapkan pagar, pagar makan padi'.

Abdul Wahab ketika membaca penghakimannya berkata, sebagai majikan, tertuduh sepatutnya memberi perlindungan kepada pekerjanya yang merupakan warganegara asing.

"Akan tetapi OKT (orang kena tuduh) telah bertindak tanpa peri kemanusiaan dan menjadi perosak masa depan mangsa semata-mata demi memenuhi nafsu serakah.

"Harapkan pagar, pagar makan padi," kata Abdul Wahab.

Paul Yong, 52, disabitkan bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Bagi kesalahan tersebut, bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan.

Pertuduhan ke atas beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, hukuman penjara dan sebatan yang dikenakan itu adalah adil, wajar dan saksama.

Menurut beliau, kejadian yang menjadi asas kepada pertuduhan dihadapi OKT ini memerlukan satu hukuman berat yang benar-benar memberi pengajaran kepada OKT dan sebagai amaran kepada sesiapa yang melakukan perbuatan keji seperti ini akan menerima padahnya.

"Dalam menjatuhi hukuman setimpal dalam kesalahan yang dilakukan, mahkamah sedar bahawa kepentingan awam seharusnya mengatasi kepentingan individu.

"Dalam konteks kes ini, mahkamah ini telah mengambil kira kepentingan awam dalam pertimbangan yang sewajarnya," katanya.

Susulan keputusan hakim itu, pasukan pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir memohon penangguhan pelaksanaan hukuman untuk prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sehingga RM30,000 dikenakan sekiranya permohonan penangguhan itu dibenarkan selain syarat tambahan dokumen perjalanan diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis.

Mahkamah kemudiannya membenarkan penangguhan itu dan menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain dokumen perjalanan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.