[VIDEO] Paul Yong didapati bersalah rogol pembantu rumah

Paul Yong Choo Kiong disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, tiga tahun lalu.
Paul Yong Choo Kiong disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, tiga tahun lalu.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Sabit kesalahan itu, Paul Yong yang merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman itu bagi pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Abdul Wahab ketika membacakan penghakimannya yang mengambil masa kira-kira 45 minit berkata, sehingga pihak pembelaan menutup kes dan mengemukakan hujahan, didapati tiada apa-apa keterangan daripada pihak pembelaan yang boleh menimbulkan apa-apa keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sebaliknya kata beliau, pembelaan hanya bersifat penafian semata-mata dan hanyalah satu pengiraan bersifat pemikiran.

"Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen pertuduhan daripada keterangan saksi-saksi dan disokong juga oleh keterangan dokumen.

"Manakala pihak pembelaan pula gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Maka dengan itu, mahkamah mensabitkan OKT (orang kena tuduh) dengan kesalahan sebagaimana yang dipertuduhkan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan," kata Abdul Wahab.

Paul Yong, 52, didapati bersalah merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Sebelum itu, Peguam Datuk Rajpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan memohon kepada mahkamah agar tertuduh diberikan hukuman minimum tanpa sebatan mengambil kira khidmat bakti tertuduh yang banyak melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat sepanjang sembilan tahun sebagai ahli yang berhormat.

Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi bagaimanapun, meminta hukuman setimpal dikenakan mengambil kira status OKT sebagai seorang pemimpin yang sepatutnya menunjukkan teladan yang baik selain perbuatan dilakukan itu telah menganiaya dan menjatuhkan maruah mangsa yang mencari rezeki halal di negara ini.

Perbicaraan kes itu bermula pada 5 April 2021 dengan pendakwaan memanggil 23 saksi termasuk dua saksi terlindung sebelum menutup kesnya pada 28 September tahun sama.

Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Azlina Rasdi bersama Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin.

Pada 7 Disember 2021, Paul Yong telah diperintahkan membela diri terhadap tuduhan merogol selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Pasukan pembelaan diketuai Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kes dengan memanggil tiga saksi termasuk Paul Yong dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta saksi terakhir yang merupakan bapa saudara mangsa, Muhammad Rusdi, 51.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hari ini untuk mengumumkan keputusan dalam kes itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan, 31 Mac lalu.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Paul Yong didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak.