[VIDEO] Penduduk Taman Sidam Kiri penat tadah air

A
A
A

SUNGAI PETANI - Kira-kira 300 keluarga di Taman Sidam Kiri dekat sini tertekan memikirkan masalah bekalan air yang sering terganggu sehingga memberi kesan terhadap aktiviti seharian dan pendapatan keluarga.

Seorang penduduk, Siti Hajar Harun, 46, yang menetap pada 2003 berkata, bekalan air disedari sering terputus sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun semakin meruncing pada Mac lalu.

Siti Hajar yang juga berniaga roti canai di taman tersebut mengakui ketiadaan bekalan air menyebabkan kerja-kerja rumah serta jualannya terjejas.

Penduduk Taman Sidam Kiri yang sering berdepan gangguan air sehingga menjejaskan aktiviti seharian mereka.
Penduduk Taman Sidam Kiri yang sering berdepan gangguan air sehingga menjejaskan aktiviti seharian mereka.

"Air sat ada sat tiada, nak cuci baju terganggu, nak buat roti canai pun terganggu, terpaksalah tak berniaga jika tiada air," katanya.

Selain itu, Ruwaidi Mohamed Rejab, 45, menjelaskan terpaksa berjaga sehingga lewat malam semata-mata mahu simpan air untuk kegunaan esok hari.

"Kalau siang tak dak air, malam kenalah tadah air perlahan tu, letih juga sebab tak cukup tidur, esoknya nak bekerja seperti biasa, anak nak sekolah,"katanya.

Siti Hajar mengambil keputusan menempatkan tong air dan mesin basuh di luar rumah disebabkan bekalan yang sering terganggu.
Siti Hajar mengambil keputusan menempatkan tong air dan mesin basuh di luar rumah disebabkan bekalan yang sering terganggu.

Artikel Berkaitan:

Ruwaidi yang menetap sejak 14 tahun lalu berkata, akibat situasi itu, ada penduduk terpaksa menanggung masalah berganda apabila peralatan elektrik seperti penapis air dan mesin basuh tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan terpaksa mengeluarkan lebih banyak modal bagi tujuan membaiki atau menggunakan alternatif lain.

Selain itu, Zue Yusof, 48, berkata, keadaan paling sukar apabila mahu menggunakan tandas dengan ketiadaan air.

Dia yang sudah menetap di situ sejak tujuh tahun lalu menambah pendapatan dengan mengambil tempahan membuat makanan dari rumah.

Akibat ketiadaan bekalan, dia terpaksa mencuci baju di dobi, membeli makanan di luar dan menolak tempahan pelanggan yang mahukan kek atau roti.

"Air ni kita tak tau bila nak ada, bila ada terus tadah untuk kegunaan tandas, nak masak di rumah kena cuci periuk belanga jadi terpaksa beli lauk, itu semua kos tambahan.

"Saya juga tak berani ambil tempahan bila tiada air, jadi tak ada 'income', kadang-kadang tertekan juga,"katanya.

Seorang lagi penduduk, Maizura Mai, 41, berkata, gangguan bekalan air menyebabkan dia sekeluarga terpaksa berjimat menggunakan air ketika memasak dan mencuci.

Aktiviti seharian seperti memasak dan mencuci terganggu termasuk bekalan air untuk tanaman dan pokok bunga.
Aktiviti seharian seperti memasak dan mencuci terganggu termasuk bekalan air untuk tanaman dan pokok bunga.

Dalam pada itu, Nor Suriana Ahmad, 49, berkata, kebimbangan ketiadaan air bertambah apabila mesin basuh automatik yang 'hilang' fungsi sehingga berisiko rosak atau memerlukan kos tinggi untuk dibaiki.

"Badan pun jadi letih-letih, kesihatan terganggu, baju kena hantar dobi, kalau lama sangat tak dak air, jenuh juga lah, kami harap masalah ini dapat perhatian segera pihak berkaitan,"katanya.

Difahamkan, bekalan air di kawasan perumahan tersebut pernah terganggu pada 2006, namun selepas diutarakan kepada pihak berkuasa, masalah itu beransur pulih.

Bagaimanapun, bekalan air kembali terganggu sekitar Mac lalu menyebabkan kebanyakan penduduk merungut selain tidak tahan dengan keadaan berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!