Kes pengubahan wang haram, rasuah Wan Saiful dibicara bersama

Wan Saiful (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas sebutan kes beliau yang membabitkan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta berkaitan projek Jana Wibawa. - Foto Bernama
Wan Saiful (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas sebutan kes beliau yang membabitkan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta berkaitan projek Jana Wibawa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes pengubahan wang haram dan rasuah berhubung projek Jana Wibawa yang dihadapi bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dibicarakan bersama.

Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd ‘Afif Ali memohon agar kes pengubahan wang haram dihadapi Wan Saiful dipindahkan ke mahkamah ini untuk didengar bersama kes rasuah.

Peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Wan Saiful tidak membantah permohonan itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta di hadapan Hakim Suzana Hussin manakala dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta di hadapan Rozina.

Sementara itu, Mohd ‘Afif berkata, pihaknya akan memanggil 32 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu dan memohon supaya tarikh perbicaraan pada 11 dan 12 Mac tahun depan yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan bagi menyediakan dokumen.

Rozina berkata, tarikh perbicaraan pada 25 hingga 27 Mac; 29 dan 30 April; dan 20 hingga 21 Mei tahun depan dikekalkan selain menetapkan tarikh tambahan bicara pada 19 hingga 21 Jun; 24 dan 25 Jun; 10 hingga 12 Julai serta 8 dan 9 Ogos.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek 'Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur' daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.

Wan Saiful juga didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindahkan dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya untuk membayar pembelian sebuah kereta jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang berkenaan ke beberapa akaun syarikat.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 November 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). - Bernama