DUN Perak bertafakur seminit, nyatakan solidariti untuk Palestin
IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat bertafakur selama satu minit bagi mengingati rakyat Palestin yang terbunuh atas kekejaman dan kezaliman dilakukan Zionis Israel.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, adalah penting bagi semua anggota Dewan untuk menyatakan solidariti terhadap perjuangan penduduk di negara itu.
"Yang berhormat Kota Tampan (Datuk Seri Saarani Mohamad) dan Sungai Manik (Datuk Zainol Fadzi Paharudin) ada berbincang dengan saya mengenai perkara ini.
"Oleh yang demikian, saya menggunakan Perintah Tetap 47 dan 94 bersetuju untuk kita sama-sama semua seisi Dewan berdiri seketika dan menunjukkan tanda solidariti kepada rakyat Palestin," katanya.
Tanda solidariti itu turut disokong menerusi pemberian mafla Palestin kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Mohammad Zahir berkata, anggota Dewan dibenarkan untuk memakai mafla berkenaan sepanjang Persidangan DUN berlangsung.
"Pejabat Speaker ada mengedarkan mafla solidariti menyokong Palestin di meja ahli-ahli yang berhormat, bolehlah memakainya atau membawa balik ke rumah.
"Ini sebagai tanda sokongan kita terhadap perjuangan Palestin," katanya.
Persidangan DUN Perak dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula Jumaat hingga 8 Disember depan.