Rakyat Palestin belajar di UKM risau nasib keluarga

Keadaan rumah penduduk Palestin yang musnah dalam serangan tentera Israel. - Foto AFP
Keadaan rumah penduduk Palestin yang musnah dalam serangan tentera Israel. - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Keluarga saya kini selamat tetapi siapa tahu apa akan berlaku kepada mereka pada masa akan datang?" kata Maram Besaiso, warga Palestin berusia 23 tahun yang menuntut di Malaysia.

Maram yang melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang pemakanan klinikal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, keluar dari Gaza ketika ini untuk menyambung pelajaran merupakan detik paling buruk buatnya kerana terpaksa berpisah dengan keluarga semasa peperangan berlaku.

Maram datang ke Malaysia pada 7 Oktober tanpa visa pelajar dan mengambil masa hampir dua bulan untuk mendapatkannya.

"Saya bertuah kerana Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UKM bersama-sama Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Global (EMGS) banyak membantu untuk mempercepat proses, jika tidak ia mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan menyebabkan saya tidak dapat belajar di sini," katanya kepada Bernama.

Maram ditemui pada sesi temu mesra "FSK Stands with Palestine" anjuran FSK UKM yang turut dihadiri antaranya Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali di sini pada Jumaat.

Keadaan rumah penduduk Palestin yang musnah dalam serangan tentera Israel. - Foto AFP
Keadaan rumah penduduk Palestin yang musnah dalam serangan tentera Israel. - Foto AFP

Sementara itu, Walid berkata, solidariti dengan Palestin perlu dilakukan untuk rakyat di negara itu secara keseluruhannya, bukan terhadap mereka yang menderita di Gaza sahaja.

"Kita perlu ingat bahawa Gaza bukanlah satu-satunya wilayah di Palestin, ada juga Tebing Barat dan Baitulmuqaddis yang rakyatnya turut ditindas dan diduduki oleh tentera Israel.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, saya mengalu-alukan sesi seperti ini diadakan lebih kerap dan memudah cara pertukaran yang lebih telus antara rakyat Malaysia dengan Palestin di sini, untuk memastikan tiada salah faham di mana-mana," katanya.

Sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara di Semenanjung Gaza sebaik sahaja jeda kemanusiaan antara Israel dengan Hamas yang berkuat kuasa pada 24 November lepas, berakhir pada pagi Jumaat.

Bernama melaporkan bahawa menurut koresponden Anadolu, serangan bertubi-tubi dan tembakan meriam tentera penceroboh Israel di timur Semenanjung Gaza bermula sejurus selepas jeda kemanusiaan tamat.

Menurut laporan akhbar antarabangsa, lebih 15,000 rakyat Palestin terbunuh oleh serangan Israel di Gaza sejak 7 Oktober. - Bernama