Zionis mengganas di Tebing Barat

Saudara-mara membawa mayat Bassem Abu Al-Wafa di Hospital Jenin selepas dia meninggal dunia semasa pertempuran dengan tentera Israel, di bandar Jenin, Tebing Barat pada Rabu. - Foto EPA
Saudara-mara membawa mayat Bassem Abu Al-Wafa di Hospital Jenin selepas dia meninggal dunia semasa pertempuran dengan tentera Israel, di bandar Jenin, Tebing Barat pada Rabu. - Foto EPA
A
A
A

EMPAT rakyat Palestin termasuk dua kanak-kanak mati dibunuh tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin, kedua-dua identiti budak lelaki itu dikenal pasti sebagai Adam Samer Al-Ghoul dan Bassem Abu Al-Wafa.

Adam, 8, dan Bassem, 15, ditembak semasa pencerobohan tentera Israel di bandar Jenin pada Rabu.

Agensi berita WAFA turut menyiarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) detik terakhir sebelum Adam dan Bassem ditembak.

WAFA memetik saksi berkata, tentera Israel melepaskan tembakan peluru hidup secara langsung ke arah mangsa menyebabkan kedua-duanya rebah dan berlumuran darah.

Kedua-duanya ditembak dalam kejadian berasingan pada hari sama.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memberitahu, mereka dihalang daripada mendekati penduduk yang cedera di Jenin, namun tidak menyebut secara khusus mana-mana mangsa.

Pengarah Hospital Khalil Suleiman, Dr Wissam Bakker berkata, tentera Israel turut bertindak biadab apabila mengepung fasiliti itu dan menghalang mana-mana mangsa yang cedera daripada memasuki unit kecemasan.

Artikel Berkaitan:

Wissam percaya, tentera Israel memang sengaja melepaskan tembakan ke arah kedua-dua mangsa bawah umur itu berdasarkan tempat peluru tersebut mendarat.

"Kedua-dua budak lelaki itu ditembak di bahagian atas badan. Peluru mengenai dada dan otak.

"Ini membuktikan tentera Israel memang berniat membunuh mangsa," ujarnya.

Setakat ini, hampir 240 rakyat Palestin dibunuh tentera mahupun pendatang haram Yahudi ketika keganasan semakin memuncak di Tebing Barat. - Agensi