'Potong juga elaun ahli parlimen, menteri besar'

Shahidan
Shahidan
A
A
A

KANGAR - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan agar elaun ahli parlimen dan menteri besar turut dipotong.

Menurut Shahidan, sebelum ini kenaikan elaun yang diberikan kepada ahli parlimen adalah dua kali ganda.

"Jadi tidak salah untuk kita sebagai pemimpin bersetuju bagi memotong sedikit elaun yang diperoleh demi kebaikan bersama terutama rakyat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam reaksinya bersetuju sekiranya elaun menteri Kabinet dipotong sebagai salah satu langkah penjimatan kewangan negara.

Selain itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar turut menyatakan komitmen sama.

Ia susulan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan lebih baik elaun ahli politik dipotong berbanding elaun Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalau perlu potong, potonglah'

Mengulas lanjut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, pemotongan elaun ini perlu atas dasar keprihatinan pemimpin kepada rakyat yang banyak menanggung beban bagi meneruskan kehidupan yang semakin mencabar.

Artikel Berkaitan:

"Masalah rakyat perlu diselami bersama agar rakyat tahu sebagai pemimpin kita sentiasa ada bersama mereka.

"Kenaikan harga barang pada ketika ini merupakan permainan dahsyat sebahagian peniaga yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Tambah Shahidan, kerajaan harus bertegas dalam menjalankan perundangan ke atas peniaga yang tidak bertanggungjawab ini.