Laluan tangga jadi 'port' warga asing potong daging

Pegawai KPDN Melaka merampas barangan kawalan tanpa permit termasuk produk berasaskan minyak di Plaza Melaka Sentral pada Khamis. Gambar kecil: Norena
Pegawai KPDN Melaka merampas barangan kawalan tanpa permit termasuk produk berasaskan minyak di Plaza Melaka Sentral pada Khamis. Gambar kecil: Norena
A
A
A

MELAKA - Tindakan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyerbu kedai runcit di Plaza Melaka Sentral di sini, membongkar perbuatan warga asing menjual dan memotong daging mentah di tepi tangga dalam bangunan kedai terbabit.

Keadaan itu bukan sahaja kotor dan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, malah mereka didakwa menawarkan jualan daging mentah secara haram untuk memenuhi permintaan warga asing sejak lima tahun lalu.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, berdasarkan aduan yang diterima daripada pengikut media sosial pihaknya menjalankan intipan sebelum menyerbu bangunan rumah kedai terbabit.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menyerbu masuk ke sebuah kedai runcit yang beroperasi di tingkat satu selepas pekerjanya mengambil tindakan mengunci pintu di tingkat bawah setelah menyedari kehadiran penguat kuasa.

Tambahnya, pemeriksaan yang dijalankan oleh penguat kuasa mendapati kedai terbabit menjual pelbagai barangan kawalan tanpa permit termasuk produk berasaskan minyak.

"Mereka gagal mempamerkan lesen barangan kawalan dan hanya mempunyai lesen yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja.



"Dalam operasi itu turut dirampas barangan di dua buah kedai atas kesalahan tiada tanda harga dan pelabelan barangan yang salah," katanya selepas melakukan serbuan mengejut di premis berkenaan pada Khamis.

Anggota penguat kuasa KPDN Melaka merampas barangan tiada tanda harga dan pelabelan barangan yang salah
Anggota penguat kuasa KPDN Melaka merampas barangan tiada tanda harga dan pelabelan barangan yang salah

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993 dan memiliki barang kawalan tanpa kebenaran pengawal (Akta Kawalan Bekalan 1961).

Ujarnya, tindakan warga asing yang tinggal dalam keadaan kotor termasuk dengan penemuan tempat memotong daging yang ditutupi dengan kain kanvas tidak sepatutnya berlaku sekali gus mencemar imej negeri ini.

"Saya berharap jabatan mahupun agensi berkaitan termasuk PBT, Jabatan Imigresen (JIM) dapat sama membantu melakukan pemeriksaan di kawasan ini," katanya.

Sinar Harian pada 13 September lalu melaporkan kebanjiran warga asing termasuk Bangladesh dan Myanmar di kawasan Plaza Melaka Sentral, Peringgit di sini, merisaukan orang awam terutama pada hujung minggu.

Tinjauan mendapati terdapat empat kedai runcit yang diuruskan warga Bangladesh dan dua kedai runcit dipercayai dijaga oleh warga Myanmar yang turut mempunyai lesen perniagaan PBT.

Difahamkan terdapat juga kedai makan Myanmar yang terletak di tingkat atas bangunan selain dipercayai sebuah kedai makan yang menjual makanan eksotik beroperasi namun tidak mempunyai sebarang papan tanda.