Kantoi seludup ayam sejuk beku

Van yang digunakan untuk menyeludup ayam sejuk beku terbabas ketika dikejar PGA Batalion 7. Gambar kecil: Azhari
Van yang digunakan untuk menyeludup ayam sejuk beku terbabas ketika dikejar PGA Batalion 7. Gambar kecil: Azhari
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas 1,044 kilogram (kg) ayam sejuk beku dari Thailand yang diseludup masuk secara haram ke negeri ini dalam Op Wawasan di Kampung Lachang dekat sini awal pagi tadi.

Rampasan itu dilakukan selepas anggota PGA Batalion 7 Kuantan terserempak dengan sebuah van yang dipandu dalam keadaan mencurigakan berhampiran Tanah Perkuburan Islam Bukit Lata dekat sini.

Bagaimanapun sejurus menyedari kehadiran anggota PGA Batalion 7, pemandu van itu bertindak memecut laju ke arah Kampung Lachang.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Azhari Nusi berkata, van tersebut kemudian hilang kawalan lalu terbabas di sebelah kiri bahu jalan.

"Pemandu van itu kemudian bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran dan gagal dikesan.

"Hasil pemeriksaan ke atas van tersebut menemui ayam sejuk beku seberat 1,044kg yang disyaki diseludup dari negara jiran," katanya.

Menurutnya, kesemua barangan rampasan dibawa ke balai polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati ayam sejuk beku itu diseludup masuk ke negara ini melalui Sungai Golok.

Artikel Berkaitan:

"Ayam sejuk beku itu kemudian diangkut menggunakan kenderaan dalam skala kecil untuk disimpan di tempat penyimpanan sementara.

"Selepas itu barangan tersebut akan dibawa menggunakan lori untuk pasaran dalam dan luar Kelantan," katanya.