Bayar zakat PPZ-MAIWP melalui aplikasi myASNB

Abdul Hakim (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada ASNB atas kolaborasi ejen kutipan zakat menerusi aplikasi myASNB.
Abdul Hakim (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada ASNB atas kolaborasi ejen kutipan zakat menerusi aplikasi myASNB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemegang akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kini dapat melakukan pembayaran zakat dengan lebih mudah melalui aplikasi myASNB.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Abdul Hakim Amir Osman berkata, menerusi aplikasi tersebut, ia menjadikan PPZ-MAIWP sebagai pusat kutipan zakat pertama di negara ini yang menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat melalui myASNB.

Melalui aplikasi tersebut, lebih dari 10 juta pelabur ASNB akan mendapat manfaat daripada kemudahan itu sekali gus membolehkan mereka menunaikan zakat harta secara dalam talian dengan lebih cepat dan mudah.

"Mulai 18 November lalu, para pendeposit ASNB kini boleh menunaikan zakat harta melalui aplikasi ini. Selain daripada mengira jumlah zakat, mereka juga boleh membuat pembayaran tanpa perlu mengurangkan nilai pelaburan dalam akaun mereka.

"Saya yakin bahawa dengan ciri-ciri istimewa ini, pendeposit ASNB dapat menunaikan zakat mereka dengan lebih senang, sejajar dengan moto PPZ-MAIWP iaitu Memudahkan Anda Berzakat," katanya semasa Majlis Pelancaran Bayaran Zakat Melalui myASNB di Wisma PPZ-MAIWP pada Rabu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ASNB merangkap Pengarah Eksekutif ASNB, Muzzaffar Othman.

Abdul Hakim (kiri) bersama Muzzaffar menyempurnakan gimik pelancaran Bayaran Zakat Melalui myASNB di Wisma PPZ-MAIWP pada Rabu.
Abdul Hakim (kiri) bersama Muzzaffar menyempurnakan gimik pelancaran Bayaran Zakat Melalui myASNB di Wisma PPZ-MAIWP pada Rabu.

Tambah Abdul Hakim, hampir RM50,000 bayaran zakat telah diterima pihaknya melalui aplikasi myASNB sejak dilaksanakan pada 18 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, jelas beliau, PPZ-MAIWP sedang menjalankan Kempen Simpan & Zakat untuk menggalakkan orang ramai membayar zakat pelaburan melalui aplikasi myASNB.

"Peserta kempen turut berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik antaranya unit amanah ASNB bernilai RM11,000 untuk pemenang pertama, RM3,000 untuk tempat kedua dan RM2,000 untuk tempat ketiga. Malah, hadiah saguhati berupa unit amanah ASNB bernilai RM100 turut ditawarkan kepada 50 peserta bertuah," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menetapkan sasaran kutipan zakat di antara RM5 juta hingga RM10 juta melalui aplikasi myASNB pada tahun depan selain mahu meneroka potensi kerjasama dengan agensi pelaburan dan pencarum baharu bagi memperluaskan lagi saluran pembayaran zakat PPZ-MAIWP bagi kemudahan masyarakat umum.