Harga ayam tinggi di Sabah sebab enakmen, akta berbeza

Perbezaan enakmen dan akta yang dilaksanakan di Sabah berkaitan veterinar antara faktor ayam lebih mahal dijual di negeri ini. - Foto Bernama
Perbezaan enakmen dan akta yang dilaksanakan di Sabah berkaitan veterinar antara faktor ayam lebih mahal dijual di negeri ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Perbezaan enakmen dan akta yang dilaksanakan di Sabah berkaitan veterinar antara faktor ayam lebih mahal dijual di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib berkata, di Semenanjung pengusahanya boleh memilih banyak ladang atau kilang dari seluruh dunia.

"Contohnya kalau di Semenanjung boleh membeli ayam itu di Poland, di Sabah tidak boleh kerana kita ada enakmen sendiri.

"Kita menjaga penyakit di Sabah iaitu kuku dan mulut. Di Semenanjung ada penyakit itu, di Sabah tidak ada. Itu sebab ayam di Sabah ini kurang sikit.

"Kerana pengimportan kita terhad sebenarnya dari seluruh dunia dan di Sabah ini dari segi enakmen ketat," katanya bagi menjawab soalan tambahan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru) punca harga ayam tinggi daripada Semenanjung.

James ketika hadir pada sidang DUN Sabah.
James ketika hadir pada sidang DUN Sabah.

Sebelum itu, menjawab soalan sama daripada Mohd Tamin@Tamin Zainal (BN-Pantai Manis), James memaklumkan isu logistik juga punca harga ayam lebih tinggi di Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kos pengangkutan kapal laut adalah lebih tinggi bagi Sabah berbanding dengan Semenanjung. Ini kerana proses pertukaran kapal di Pelabuhan Klang terpaksa dilakukan disebabkan pengusaha ayam tempatan Sabah tidak dapat mengimport bahan mentah dalam kuantiti yang besar.

"Ini menyebabkan berlaku peningkatan kos yang dianggarkan antara 15 peratus hingga 20 peratus. Kos bahan mentah bagi makanan ayam di Sabah lebih tinggi iaitu 20 peratus berbanding dengan Semenanjung.

"Kos bahan mentah ini menyumbang 70 peratus kepada kos pengeluaran ayam pedaging ataupun telur ayam. Kos logistik juga yang tinggi kerana kawasan yang luas, keadaan muka bumi dan jalan perhubungan yang masih kurang baik berbanding dengan Semenanjung," jelasnya.

Sebelum itu, beliau turut berkongsi harga ayam standard di Semenanjung ketika pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam dan Telur Ayam (PHMAT) ialah RM9.40 dan di Sabah RM11 manakala ayam Super, di Semenanjung RM10.40 dan di Sabah RM12.