Ladang ayam diarah tutup operasi

Anggota penguatkuasa MPKS membuat pemeriksaan terhadap sebuah ladang ternakan ayam di Sungai Yu pada Rabu.
Anggota penguatkuasa MPKS membuat pemeriksaan terhadap sebuah ladang ternakan ayam di Sungai Yu pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebuah ladang ternakan ayam di Sungai Yu dekat sini diarahkan tutup serta-merta berikutan aduan kacau ganggu lalat kepada penduduk.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Jefriee Ab Manaf berkata, penutupan itu dilakukan hasil operasi bersepadu MPKS dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Pejabat Veterinar Daerah Kuala Selangor serta polis.

Menurutnya, dalam operasi itu, MPKS turut mengeluarkan dua kompaun melibatkan kesalahan kacau ganggu kebersihan dan kesalahan ingkar arahan terhadap ladang berkenaan.

"Pejabat Veterinar Daerah Kuala Selangor mengeluarkan dua kompaun di bawah Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 dan Peraturan-Peraturan Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2008," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, katanya, pemilik ladang diarahkan menjalankan kerja pembersihan premis seperti arahan notis menghapuskan kacau ganggu serta mendapatkan kelulusan pihak berkuasa melesen.

Beliau memberitahu, MPKS menerima aduan kacau ganggu lalat di empat lokasi ladang ternakan ayam sekitar Mukim Ujong Permatang pada Rabu.

"Hasil pemeriksaan dari segi kehadiran lalat mendapati tiga ladang ternakan ayam berada dalam skala 2 manakala satu ladang lagi berada dalam skala 5 (aktif).

"Antara punca kehadiran lalat yang dikenal pasti adalah pemilik ladang tidak menguruskan pelupusan bangkai dengan baik, ketidakcekapan rekod kawalan serangga perosak secara konsisten dan pengurusan najis ayam tidak bersesuaian," tambahnya.

Artikel Berkaitan: