Tahap kesejahteraan rakyat Malaysia meningkat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kesejahteraan rakyat Malaysia meningkat 2.5 peratus pada 2022 apabila prestasi Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) mencatatkan 121.2 mata berbanding 118.3 mata pada 2021, yang disumbangkan oleh pertumbuhan positif dalam kesejahteraan ekonomi dan sosial, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peralihan negara ke fasa endemik yang bermula April 2022 dengan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat telah memberi impak positif kepada kedua-dua subkomposit itu.

Subkomposit kesejahteraan ekonomi merekodkan peningkatan 3.6 peratus pada 2022 kepada 130 mata berbanding 125.5 mata pada 2021, manakala subkomposit kesejahteraan sosial pula meningkat 1.8 peratus kepada 116.4 mata berbanding 114.3 mata pada 2021.

"Kesejahteraan rakyat Malaysia pada 2022 berada dalam fasa endemik dan pemulihan Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan positif kesejahteraan rakyat Malaysia disumbangkan oleh peningkatan 11 daripada 14 komponen ekonomi dan sosial pada 2022.

Tiga komponen tertinggi yang menyumbang kepada peningkatan IKRM adalah hiburan dan rekreasi iaitu 20.8 peratus, pengangkutan (lapan peratus) dan kebudayaan 6.5 peratus, katanya.

Tiga komponen IKRM menunjukkan penurunan pula ialah keselamatan awam, tadbir urus dan penyertaan sosial, katanya.

Indeks Keselamatan Awam menurun disebabkan oleh peningkatan bilangan kemalangan jalan raya berikutan pembukaan semula sempadan serta aktiviti ekonomi, manakala tadbir urus menurun disebabkan oleh penurunan peratusan kes rasuah didakwa, peratus pengguna e-filing dan peratus kes yang diselesaikan oleh Biro Pengaduan Awam.

Komponen penyertaan sosial merekodkan penyusutan susulan daripada penurunan keahlian Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan bilangan pertubuhan bukan bermotif keuntungan berdaftar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, secara keseluruhan prestasi Indeks Kesejahteraan Rakyat Negeri (IKRN) bagi kesemua negeri mencatatkan kenaikan mata indeks pada 2022.

Tiga negeri mencatatkan mata indeks tertinggi ialah Perlis dengan 2.9 mata indeks kepada 115.2 mata pada 2022 berbanding 112.3 mata pada 2021, diikuti Sarawak 2.8 mata indeks kepada 119.5 mata pada 2022 berbanding 116.7 mata pada 2021, dan Perak 2.4 mata indeks kepada 118.5 mata berbanding 116.1 mata pada 2021. - Bernama