Pembangkang harap Belanjawan Kelantan 2024 bela nasib rakyat

Mohd Syahbuddin
Mohd Syahbuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim berharap Belanjawan 2024 yang akan dibentang pada Khamis dapat membela keseluruhan rakyat di negeri ini.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata, hal ini kerana kerajaan Kelantan yang dibentuk mendapat sokongan dua pertiga rakyat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

"Semestinya perbelanjaan kepada kebajikan rakyat perlulah menjadi perkara utama.

"Setiap tahun belanjawan Kelantan merekodkan lebihan (surplus). Jadi saya harap lebihan itu terjadi bukan kerana kita tidak berbelanja atau menyimpan daripada menggunakan peruntukan tertentu," katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui selepas Persidangan Kali Ke Dua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Negeri Kelantan (DUN) Yang Ke-15 Tahun 2023.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Sidang DUN Kelantan dijangka berlangsung hujung November ini bagi membentangkan Belanjawan 2024.

Perkara tersebut disahkan oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah ketika ditemui pemberita pada Ahad.

ADUN Panchor itu berkata, semasa sidang berkenaan nanti, ada satu atau dua rang undang-undang bakal dibentangkan.

Dalam pada itu, Mohd Syahbuddin juga mahu kerajaan negeri waspada dalam menguruskan perlombongan unsur nadir bumi (REE) melibatkan nilai RM125 bilion.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sumber itu perlu di santuni dengan sebaik mungkin kerana ia merupakan sumber pendapatan baharu kepada kerajaan Kelantan.

"Dengan adanya sumber ini (REE), kerajaan negeri tidak lagi bergantung kepada hasil daripada balak.

"Secara mudahnya, kawasan balak di Gua Musang tidak lagi perlu ditebang," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas itu memberitahu, nilai RM125 bilion itu bersamaan dengan 2.5 juta metrik tan REE yang terkandung di Jeli, Gua Musang dan Tanah Merah.

Ujarnya, selepas ini beliau tidak mahu kerajaan negeri terus menjadi pengemis kepada royalti petroleum daripada Persekutuan.

"Timbalan Menteri Besar (Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan) kata masih lagi diperingkat rundingan, SOP kerajaan negeri telah disiapkan tunggu maklum balas pihak kementerian untuk dilaksanakan.

"Kita juga telah dimaklumkan beberapa syarikat sudah berminat untuk bekerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri. Jadi saya berharap anak syarikat kerajaan negeri bukan menjadi rakan kerjasama sahaja tapi tuan kepada perlombongan ini," katanya.

Beliau tidak mahu perkara sama berulang kembali sebagaimana perlombongan emas dan sebagainya dimana kerajaan negeri hanya menjadi rakan kerjasama bukan orang melaksana.