Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS bagi sesi ketiga berturut-turut

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup tinggi bagi hari ketiga berturut-turut pada Rabu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), susulan jangkaan semakin meningkat mengenai penurunan kadar faedah AS.

Keadaan itu disusuli oleh perbincangan baharu mengenai kadar faedah rendah pada Selasa, kali ini oleh Christopher Waller, ahli Rizab Persekutuan (Fed) AS yang dihormati dan cenderung kepada kadar faedah tinggi sebelum ini.

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat semula kepada 4.6495/6550 berbanding dolar AS daripada 4.6690/6725 ketika ditutup pada Selasa.

Rakan Kongsi Pengurusan, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pasaran pada dasarnya memahami ulasan Waller mengenai potensi penurunan kadar pada awal tahun depan disebabkan oleh inflasi yang perlahan di AS,

"Tahap pergerakan mata wang adalah ketara, terutama dengan set data ekonomi peringkat satu yang akan dikeluarkan minggu ini.

"Pelabur khususnya menunggu bacaan inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS pada Khamis dan Indeks Pengurus Pembelian (IPP) pembuatan Institute for Supply Management (ISM PMI) pada Jumaat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pelabur mungkin mengambil pendekatan berhati-hati apabila menunggu data penting ini.

Innes berpandangan pasaran berada dalam fasa mengurangkan kekukuhan dolar AS dalam jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding euro kepada 5.1014/1075 daripada 5.1140/1178 ketika ditutup pada Selasa, dan tinggi berbanding pound British kepada 5.8951/9021 daripada 5.8965/9009.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.1513/1553 daripada 3.1430/1456 semalam.

Unit tempatan juga diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4909/4953 daripada 3.4948/4976 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.41 daripada 8.42/8.43 semalam.

Unit tempatan juga naik berbanding baht Thai kepada 13.3484/3722 daripada 13.3629/3791 serta mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 301.9/302.5 daripada 302.4/302.8 ditutup pada Selasa. - Bernama