'Ahli UMNO tak puas hati kepimpinan diminta sokong Pas' - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita selepas program Pentas Anak Muda pada Jumaat.
Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita selepas program Pentas Anak Muda pada Jumaat.
A
A
A

KEMAMAN - Ahli-ahli UMNO yang tidak berpuas hati terhadap kepimpinan mereka diminta untuk memberi sokongan kepada Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini.

Justeru, calon Pas bagi PRK Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengharapkan sokongan daripada mereka terhadap parti tersebut tetap diteruskan seperti pilihan raya sebelum ini.

"Sudah tentu kita harapkan (sokongan) semua pihak daripada UMNO yang tak berapa puas hati dengan kepimpinan mereka.

"Sebenarnya ramai (ahli UMNO) tak berpuas hati. Jadi kita ingin mereka beri sokongan pada Pas dalam PRK Kemaman ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Pentas Anak Muda di Kemaman Arena Square dekat sini pada Jumaat.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa Perikatan Nasional (PN) semakin terdesak menarik sokongan UMNO, Ahmad Samsuri menyatakan DAP mempunyai pandangan mereka tersendiri berhubung isu tersebut.

"Tak apalah itu pandangan dia (DAP). Kita dalam sebuah negara yang bebas merdeka dan setiap orang berhak beri pandangan.

"Itu pandangan dia dan Pas pun ada pandangan Pas sendiri... parti lain pun ada pandangan masing-masing, jadi tak ada isu," ulasnya.

Pada Khamis, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyatakan PN semakin terdesak apabila gabungan itu mendedahkan masih berusaha untuk menarik sokongan UMNO.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, tindakan tersebut juga menunjukkan PN mahu mengganggu gugat kestabilan negara yang sudah dicapai melalui Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan PN masih berusaha menarik sokongan pemimpin UMNO yang tidak menyokong kerjasama parti itu dalam kerajaan perpaduan untuk bergabung dengan mereka.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!