'Benda besar' menanti Ahmad Samsuri - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim (kiri), Ahmad Samsuri
Tuan Ibrahim (kiri), Ahmad Samsuri
A
A
A

KEMAMAN - Pas bukan sekadar ingin mengekalkan kemenangan di Parlimen Kemaman, sebaliknya mempunyai agenda yang lebih besar untuk calonnya iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu mengharapkan Menteri Besar Terengganu itu dapat menyumbang sesuatu kepada negara, sebagaimana yang dilakukan di negeri ini.

Menurutnya, Ahmad Samsuri mempunyai rekod yang baik sepanjang mentadbir Terengganu dan memenuhi kriteria ditetapkan.

“Orang tanya pasal apa kita lantik Dr Ahmad Samsuri jadi calon kita di Kemaman. Sudah tentulah kita faham Pas pusat ada agenda besar bawa beliau ke Parlimen

“Ada benda besarlah, kalau benda kecil letak orang lain pun Kemaman, Insya-ALLAH boleh menang. Tapi kita tak nak sekadar mahu Dr Ahmad Samsuri sumbang (sesuatu) kepada Terengganu, mesti berjaya menyumbang untuk Malaysia, Insya-ALLAH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana di Unit Daerah Mengundi (UDM) Felda Kerteh 6, di sini malam Jumaat.

Ahli Parlimen Kubang Kerian menambah, keberadaan seorang menteri besar di Parlimen juga penting bagi memudahkan segala urusan pentadbiran negeri dan perkara yang berkaitan dengan kerajaan Pusat.

Malah katanya, perkara sama dilakukan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang turut menjadikan menteri besar dan ketua menteri sebagai ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

“Kita nak beritahu bahawa penting bagi menteri besar ini duduk dalam Parlimen supaya isu Terengganu boleh dijawab.

"Dia (Ahmad Samsuri) ada maklumat dalam kepala dan apa sahaja keperluan serta perancangan pembangunan Terengganu, dia boleh bicara terus bersama di depan Perdana Menteri dan menteri-menteri.

“Itu kalau jadi pembangkang (di Parlimen). Kalau jadi kerajaan (Pusat), semua sedia maklumlah apa yang sepatutnya dibuat. Kita nak angkat Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sebagai mekanisme untuk mengangkat ekonomi orang Melayu di Malaysia, Insya-ALLAH,” jelasnya.

Pas sebelum ini dilaporkan mencalonkan Ahmad Samsuri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman untuk mengetengahkan pemimpin itu sebagai calon Perdana Menteri masa depan bagi Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Samsuri bagaimanapun menganggap dakwaan berkenaan sebagai perkara biasa dalam politik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!