Kedah terus pemberian peruntukan kepada ADUN Pembangkang

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Kedah akan meneruskan pemberian peruntukan kewangan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setiap ADUN Pembangkang akan menerima peruntukan sebanyak RM74,000 setahun.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, peruntukan sebanyak RM50,000 setahun disediakan kepada semua ADUN pembangkang bagi tahun 2024 dan juga sebelum ini.

"Pembayaran ini akan dibuat secara sukuan tahun kepada pusat khidmat DUN Pembangkang bagi tujuan sumbangan, pemberian, program dan lain-lain berkaitan pusat khidmat.

"Untuk peruntukan mengurus DUN Pembangkang juga masih dikekalkan sebanyak RM2,000 sebulan bersamaan RM24,000 setahun pada tahun 2024 berdasarkan peruntukan tahun semasa," katanya ketika sesi pergulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, jumlah keseluruhan diperuntukkan untuk tiga DUN iaitu Sidam, Bakar Arang dan Kota Darul Aman melibatkan peruntukan RM222,000 setahun.

"Saya antara Menteri Besar Kedah yang pertama menyediakan peruntukan pada ADUN pembangkang bermula tahun 2020 walaupun kecil kerana saya faham sebagai pembangkang jikalau tidak ada peruntukan, kita sakit (dan) susah nak buat khidmat kepada rakyat, tidak mampu nak bayar bil pejabat, lantik pegawai pun tak boleh nak bayar gaji,"katanya.

Muhammad Sanusi mendedahkan, beliau sendiri memiliki pengalaman terpaksa menjual laksa, kicap dan rambutan ketika bekerja dengan ADUN Pembangkang ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya secara secara sendirinya tanpa pengaruh siapa-siapa telah mengumumkan peruntukan kepada pusat khidmat adun pembangkang walaupun kecil tetapi (mereka) dapat," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri dimohon menyediakan peruntukan kepada ADUN pembangkang Kedah.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Bau Wong Bau Ek berkata, peruntukan khas kepada tiga ADUN pembangkang itu akan digunakan bagi program kemasyarakatan dan kebajikan.

.......................................................................................................................

Kedah sedia teliti cukai jualan produk petroleum seperti Sarawak

ALOR SETAR - Kerajaan negeri bersedia meneliti dengan lebih lanjut berhubung cukai jualan yang melibatkan produk petroleum seperti mana diperkenalkan Sarawak sekiranya minyak ditemui di perairan Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia susulan kenyataan Petronas pada 15 November 2023 bahawa terdapat potensi penemuan sumber hidrokarbon di Langkasuka Basin iaitu di Blok PM320 dan PM321 di utara Selat Melaka berdekatan perairan Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Beliau menambah, ketika ini, Petronas sedang melaksanakan kajian seismik bagi memeta kawasan yang berpotensi untuk sumber hidrokarbon yang merangkumi 38,000 kilometer (km) persegi.

"Hasrat kerajaan negeri Kedah selari dengan hasrat kerajaan negeri Pulau Pinang yang turut bercadang memperkenalkan cukai jualan sama.

"Kedah juga bersedia meneliti kerangka perundangan sedia ada sekiranya aktiviti cari gali minyak atau gas dijumpai dan dijalankan kelak di kawasan yang melibatkan perairan Kedah," katanya ketika sesi pengulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi memaklumkan, Projek Kedah Aerotropolis akan diteruskan dengan memberi fokus kepada pembangunan yang tidak lagi memerlukan kelulusan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) seperti komponen Business Park dan Sidam Logistics Aerospace Manufacturing (SLAM).

"Pada masa sama, kerajaan negeri akan terus komited mengadakan rundingan dengan pihak MOT bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP)," katanya.

Menurut beliau, pihak pemaju yang diberi tanggungjawab untuk membangunkan Projek Kedah Aerotropolis mempunyai keupayaan untuk memajukan projek ini melalui usahasama strategik yang dibentuk di antara KXP AirportCity Holdings dan Tahira Air Sdn Bhd melalui penubuhan syarikat Kedah Aerotropolis Sdn Bhd.

"Komitmen Tahira Air Sdn Bhd untuk memajukan projek ini disokong Syarikat Induk Tahira Group mempunyai “Group Revenue Turnover” berjumlah RM320 juta dan 3,600 orang pekerja yang menjalankan perniagaan merangkumi rantaian bekalan logistic bersepadu yang merentas sempadan negara melibatkan Malaysia, China, Hong Kong, Vietnam, Thailand, Indonesia serta Luxembourg dan turut berkolaborasi dengan syarikat logistik seperti DHL dan Fedex.

"Melalui Tahira Group, Syarikat Tahira Air telah menjalin hubungan strategik dengan Henan Provice Airport Group yang akan menjadi rakan strategik bagi pembangunan Lapangan Terbang KXP di samping berperanan sebagai operator bagi aktiviti “international transhipment cargo’ yang menjadi fokus utama kepada Lapangan Terbang KXP," katanya.

Beliau menyifatkan, perkara ini membuktikan bahawa pembangunan Lapangan terbang KXP tidak menjejaskan lapangan terbang penumpang di Alor Setar, Langkawi dan Pulau Pinang kerana fokus Lapangan Terbang KXP adalah melibatkan “full fledge freighter service”

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan terus komited untuk membangunkan Kedah Aerotropolis supaya Hasrat menjadikan negeri ini sebagai “The Greater Kedah” dapat dicapai selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035.