Selangor salur peruntukan kepada ADUN pembangkang

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan menyalurkan peruntukan awal berjumlah RM1.1 juta kepada 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri itu dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan sebanyak RM50,000 untuk setiap wakil rakyat pembangkang itu bagi membantu mereka menyediakan keperluan dan pengurusan pejabat di pusat khidmat kawasan masing-masing.

Beliau turut berkata, peruntukan untuk pembangkang pada penggal lalu telah dibahagikan mengikut tiga kategori iaitu ‘purely’ pembangkang, pembangkang yang menyokong kerajaan dan pembangkang di blok kerajaan.

Amirudin bagaimanapun berkata, untuk peruntukan penggal ini, beliau terlebih dahulu perlu bertemu dengan wakil pembangkang selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya sudah nyatakan secara lisan tetapi belum dapat permintaan lagi dari mereka (pembangkang).

“Namun begitu, menjelang akhir tahun ini, kita menyedari terdapat beberapa kepentingan. Saya maklumkan kepada pejabat khidmat pembangkang, tahun ini kita beri peruntukan RM50,000 dahulu supaya wakil rakyat pembangkang dapat berkhidmat dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh (PN) berhubung jumlah peruntukan ADUN dalam Sidang DUN Negeri Selango,r di sini pada Jumaat

Dalam pada itu, Amirudin berkata, jumlah peruntukan bagi wakil rakyat kerajaan pula ditentukan mengikut jumlah pengundi atau penduduk di kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Kalau jumlah pengundi kurang 40,000, maknanya kita akan berikan peruntukan sebanyak RM750,000 manakala untuk jumlah pengundi dari 40,001 hingga 55,000, kita berikan peruntukan RM800,000.

“Jumlah pengundi 55,000 hingga 70,000 pula kita berikan peruntukan RM850,000. Untuk kawasan ada 70,000 hingga 90,000 pengundi kita sediakan RM900,000. Jumlah penduduk lebih 90,000, kita akan peruntukan sebanyak RM950,000,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!