Terengganu hilang hasil RM82.5 juta pengecualian cukai pintu kediaman

Kerajaan Terengganu akan mengkaji dan mempertimbangkan terlebih dahulu cadangan untuk membuat kutipan cukai pintu rumah kediaman secara bersasar pada masa akan datang. - Gambar hiasan. Gambar Kecil: Wan Sukairi
Kerajaan Terengganu akan mengkaji dan mempertimbangkan terlebih dahulu cadangan untuk membuat kutipan cukai pintu rumah kediaman secara bersasar pada masa akan datang. - Gambar hiasan. Gambar Kecil: Wan Sukairi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Langkah kerajaan negeri mengecualikan cukai pintu rumah kediaman bagi tempoh 2018 hingga 2023 mengakibatkan Terengganu kehilangan hasil sebanyak RM82.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengecualian cukai tersebut selaras dengan manifesto Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

"Sebaik Pas memenangi Terengganu pada PRU14, kami telah menghapuskan cukai pintu rumah kediaman bagi melaksanakan janji berkenaan.

"Kesannya Terengganu hilang hasil sebanyak RM82.5 juta yang sepatut dikutip oleh tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya ketika menjawab soalan lisan Khazan Che Mat (Bersatu-Seberang Takir) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mahu tahu berapakah hasil cukai pintu rumah kediaman yang sepatutnya dikutip kerajaan negeri sejak manifesto itu dilaksanakan.

Menjawab soalan tambahan Khazan sama ada kerajaan negeri berhasrat untuk membuat kutipan cukai pintu rumah kediaman secara bersasar pada masa akan datang, Wan Sukairi memaklumkan bahawa cadangan tersebut sedang dipertimbangkan.

Bagaimanapun menurut beliau, pihaknya turut menerima cadangan lain dan kesemuanya akan dikaji serta diperhalusi sebelum keputusan akhir dibuat.

"Kerajaan negeri banyak menerima cadangan supaya cukai tersebut dilaksanakan secara bersasar mengikut kaedah tertentu kerana negeri kehilangan hasil yang banyak.

"Tetapi kami akan kaji dahulu cadangan tersebut serta cadangan lain sebelum membuat keputusan muktamad," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya berdasarkan data pada 2018 kutipan cukai pintu rumah kediaman yang sepatutnya dikutip ialan RM9.7 juta; 2019 (RM12.73 juta); 2020 (RM13.87); 2021 (RM14.56 juta); 2022 (RM15.27) dan 2023 (RM16.38 juta).