RM8.9 juta baik pulih klinik daif di Terengganu - Dr Zaliha

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (dua, kanan) beramah mesra bersama jururawat semasa melakukan lawatan kerja ke klinik daif di Klinik Desa Pulau Bahagia, Manir, pada Sabtu. - Foto Bernama.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (dua, kanan) beramah mesra bersama jururawat semasa melakukan lawatan kerja ke klinik daif di Klinik Desa Pulau Bahagia, Manir, pada Sabtu. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak RM8.9 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 58 klinik daif di Terengganu manakala pembaikan baki 54 klinik lain akan dipertimbangkan untuk pelaksanaan pada tahun 2024 dan 2025.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 21 projek telah berjaya disiapkan sepenuhnya setakat ini.

"36 projek lagi sedang rancak dilaksanakan manakala satu lagi projek sedang dalam proses perolehan dan akan dimulakan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke projek pembaikan klinik dan fasiliti daif di Terengganu di Klinik Desa Pulau Bahagia di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha memaklumkan sebanyak 112 fasiliti kesihatan dikenal pasti daif di negeri ini merangkumi Klinik Kesihatan, Klinik Desa dan Klinik Pergigian.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200,000 bagi melaksanakan kerja-kerja pendawaian semula dan menaik taraf sistem elektrik di empat klinik.

"Empat klinik itu adalah Klinik Kesihatan Seberang Takir, Klinik Kesihatan Bukit Tunggal, Klinik Desa Pengadang Baru dan Klinik Desa Medan Jaya, Marang.

"Kita juga bersetuju meluluskan sebanyak RM150,000 bagi pembelian peralatan perubahan untuk kegunaan klinik-klinik di seluruh negeri Terengganu," jelas beliau.