MSA tidak goyang status AMD

MSA bertekad mahu melakukan kejutan apabila berdepan pasukan pilihan AMD dalam aksi separuh akhir kejuaraan Piala Pra U 2023 di padang 7 AMD, Gambang, Kuantan pada Rabu. - Foto Sukan IPT
MSA bertekad mahu melakukan kejutan apabila berdepan pasukan pilihan AMD dalam aksi separuh akhir kejuaraan Piala Pra U 2023 di padang 7 AMD, Gambang, Kuantan pada Rabu. - Foto Sukan IPT
A
A
A

MUTIARA Soccer Allstar (MSA) menjanjikan tentangan sengit apabila berdepan juara bertahan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam aksi separuh akhir kejuaraan Piala Pra U 2023 di padang AMD, Gambang, Kuantan pada Rabu.

Malah, pengendali MSA, Noraffendi Taib juga percaya tekanan tinggi juga akan dirasai pemain kedua-dua pasukan apabila berada di pentas empat terbaik.

“Saya secara positif berusaha memastikan persembahan para pemain berada tahap terbaik apabila berada di peringkat ini.

“Paling penting adalah memastikan kekuatan mental setiap pemain bagi mengharungi perlawanan berintensiti tinggi menentang pasukan tuan rumah esok pagi (Rabu).

“Ya, tidak dinafikan kelebihan berpihak kepada AMD, namun kami akan cuba imbangi seterusnya menyaingi kelebihan mereka bagi memastikan keputusan positif perlawanan berpihak kepada kami,” katanya.

Sebagai rekod, MSA berpangkalan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian (Sekolah Sukan Negeri), Simpang Ampat, Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang mengesahkan slot separuh akhir selepas berstatus naib juara kumpulan B.

Anak buah Noraffendi kurang bernasib baik apabila menyingkap kempen kumpulan dengan kekalahan 2-3 kepada Malaysia University Football Team (MUFT) walaupun dua kali mendahului pasukan lawan dalam perlawanan tersebut.

Rentak kemenangan pasukan dari utara itu akhirnya dijelmakan apabila mengatasi Akademi Bolasepak Felda, 4-2 sebelum mengakhiri cabaran skuad muda Johor Darul Ta’zim (JDT) Bawah 15 tahun (B-15), 3-1 pada Isnin bagi mengesahkan kemaraan kelompok empat terbaik kejohanan.

Artikel Berkaitan: