SMK Meru mara ke final Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023

Kesebelasan utama SMK Meru ketika berdepan SMK Sultan Abdul Samad dalam aksi separuh akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023 pada Jumaat.
Kesebelasan utama SMK Meru ketika berdepan SMK Sultan Abdul Samad dalam aksi separuh akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023 pada Jumaat.
A
A
A

PASUKAN pilihan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru mengesahkan slot perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 tahun (B-15) 2023 selepas mengatasi cabaran SMK Sultan Abdul Samad pada Jumaat.

Bagaimanapun laluan ke final angkatan Mat Hassan Mat Rofi dari Klang tersebut berdepan laluan berliku separuh akhir apabila terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Dalam aksi di padang B Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28 Shah Alam itu, permainan tersusun SMK Sultan Abdul Samad menyaksikan jentera serangan SMK Meru buntu memecah kebuntuan sehingga berakhir separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, pasukan dari Petaling Jaya itu terlebih dulu mengejutkan anak buah Mat Hassan, apabila memimpin permainan hasil jaringan sendiri Muhammad Iqram Haziq Muhd Shamsuri pada minit ke-46.

Tersentak jaringan itu, SMK Meru kembali memperkemaskan permaian berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma pemain gantian Muhammad Zaharul Hafizi Mohd Zahalizan pada minit ke-50.

No Image Caption

Perlawanan kembali rancak, namun ketumpulan jentera penyudah kedua-dua pasukan sekali lagi menjadi halangan menyaksikan perlawanan 60 minit berakhir dengan keputusan 1-1.

Tuah penentuan sepakan penalti ternyata memihak kepada SMK Meru apabila menewaskan SMK Sultan Abdul Samad dengan kemenangan 3-2.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, syukur secara keseluruhan saya berpuas hati dan bangga dengan semangat juang pemain-pemain SMK Meru dalam perlawanan separuh akhir hari ini.

“Ya, saya akui SMK Sultan Abdul Samad berjaya menutup setiap ruang kepada pemain-pemain SMK Meru untuk mengasak memburu gol pada separuh masa pertama.

“Separuh masa kedua, serangan pantas pasukan SMK Sultan Abdul Samad menyaksikan pemain pertahanan tertampan gol sendiri,” kata Mat Hassan.

Namun jelas Mat Hassan ketenangan para pemain SMK Meru menyaksikan pasukan tersebut kembali menyamakan kedudukan bagi menghidupkan semula cabaran.

“Biarpun begitu ketumpulan penyudah barisan serangan masih lagi menjadi igauan kepada barisan kejurulatihan apabila masih mempersia-siakan deretan peluang menjaringkan gol,” katanya.

SMK Meru bakal berdepan SMK Shah Alam dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Isnin ini.

Sebagai rekod kejohanan mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai akhbar rasmi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!