Kedah pelopori sukan sebagai ibadah

Muhammad Radhi ketika sesi penggulungan di DUN Kedah pada Selasa.
Muhammad Radhi ketika sesi penggulungan di DUN Kedah pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah akan mempelopori bidang sukan sebagai suatu ibadah dalam memperkemaskan perancangan sukan ke arah yang lebih baik.

Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri, Muhammad Radhi Mat Din berkata, konsep baharu itu masih di peringkat perancangan dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, pembentangan konsep sukan sebagai ibadah itu telah pun dibuat dalam sesi pemukiman anggota mesyuarat Exco bersama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bulan lalu.

“Ia masih dalam perbincangan, untuk melaksanakannya kita perlu hakis pandangan negatif yang dakwa apabila bersukan kita lupa tanggungjawab agama.

“Saya yakin konsep ini akan mendapat sokongan apabila dilancarkan kelak,” katanya dalam sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu menjelaskan, konsep tersebut akan menangkis tanggapan bahawa sukan tiada kaitan dengan agama.

“Sebagai atlet beragama Islam khususnya, perkara ini harus diambil berat. Perinciannya akan dibentang selepas semuanya siap.

"Kita mahu jadikan sukan itu sebahagian daripada ibadat dan beroleh pahala. Tak mahu lagi ada jurang antara sukan dan agama,” katanya menjawab pertanyaan Salim Mahmood (Pas-Bukit Lada) berhubung perancangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Radhi turut menangkis dakwaan pemain bola sepak leka dalam beribadat terutama apabila berdepan perlawanan liga Malaysia.

“Semua perlawanan bermula 8.45 malam, tiada halangan untuk solat Maghrib. Malah kita pastikan pemain dan pasukan tunai solat terlebih dahulu sebelum turun ke padang bola.

“Kita tak mahu lagi ada tanggapan negatif (seperti itu), selepas ini kita akan jadikan sukan sesuatu yang berpahala dan ada garis panduan, termasuk hubungan kita dengan ALLAH SWT menerusi pendekatan yang akan kita perkenalkan,” ujarnya.

Menurutnya, tumpuan bukan hanya kepada bola sepak, sebaliknya diperluaskan kepada semua jenis sukan, khususnya memanah dan berkuda yang merupakan fardu ain.

Menjawab pertanyaan ADUN Sidam, Bau Wong Bau Ek bagaimana untuk pastikan pemain bola sepak atau atlet Kedah tidak dipancing pasukan negeri lain, Muhammad Radhi berkata, ia bergantung kepada individu.

“Dunia bola sepak profesional sekarang dipenuhi tawaran (wang). Duit satu perkara, maruah diri dan kesetiaan sebagai keutamaan, hanya itu jadi pegangan.

“Selain pendekatan menerusi kepakaran dan kejurulatihan, diharap pemain setia dan berbaktilah untuk negeri kita,” katanya yang hampir 25 tahun berbakti dalam bola sepak Kedah.

Muhammad Radhi turut memaklumkan pembangunan e-sukan yang diminati golongan belia, terutama di kawasan bandar tidak dipinggirkan.

“Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah mempunyai tiga jurulatih separuh masa yang dilantik untuk mengemudi sukan elektronik sejak tahun 2019 dan memiliki pengalaman dalam tiga platform, iaitu permainan mobile, komputer dan konsol bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma)," jelasnya.

Menurutnya, pusat latihan sukan berkenaan dibangunkan di DUN Derga dan atlet Kedah tidak kurang hebatnya apabila turut memenangi pingat dalam kejohanan dalam dan luar negara.

“Beberapa cadangan dan kertas kerja berhubung penyediaan fasiliti akan diteliti bersama jurulatih berpengalaman yang pakar dalam selok-belok sukan moden ini, ia akan membantu kerajaan negeri merancang dalam menyediakan hab e-sukan," ujarnya.