Subsidi diesel wujudkan ruang ketirisan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

PUTRAJAYA - Subsidi diesel secara pukal telah menyebabkan wujud ruang ketirisan sehingga diseleweng di pasaran gelap oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah tidak wajar untuk kerajaan meneruskan pendekatan yang tidak adil kepada kumpulan sasar iaitu rakyat yang benar-benar perlu dibantu.

"Inisiatif subsidi diesel yang bermula pada tahun 2001 sepatutnya memberi manfaat kepada nelayan atau pengguna untuk mendapat 'value for money' kepada perkhidmatan dan barangan yang dibeli, telah turut disalahgunakan oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan," katanya pada Selasa.

Teks ucapan beliau sempena Simpisium Kos Sara Hidup Tahun 2023 telah dibacakan oleh Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Menurut Ahmad Zahid, pemberian subsidi daripada kerajaan telah membantu menstabilkan harga barangan, menjamin bekalan dan secara tidak langsung membantu rakyat dalam mengurangkan beban kos sara hidup.

"Namun limpahan manfaat daripada pemberian subsidi secara pukal sejak sekian lama ini turut dinikmati oleh golongan yang berpendapatan tinggi dan bukan warganegara," katanya.

Ujar beliau, Laporan Kajian Impak Program Subsidi Petrol dan Program Subsidi Diesel Sektor Pengangkutan Terpilih mendapati kumpulan T20 secara purata menggunakan RM399 sebulan bagi petrol RON95, manakala kumpulan B40 secara purata menggunakan RM243 sebulan.

"Dapatan ini membuktikan bahawa kaedah subsidi pukal tidak mencapai objektif asas kerana kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu tidak mendapat manfaat optimum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Ahmad Zahid, kerajaan menanggung perbelanjaan yang semakin besar dalam peruntukan subsidi.

"Pada 2022, nilai subsidi keseluruhan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM91.9 bilion, satu nilai yang terlalu besar jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.

"Bagi 2023, peruntukan asal bagi keperluan subsidi adalah sebanyak RM64 bilion, namun kerajaan mengunjurkan nilai ini mencecah RM 80.9 bilion berdasarkan perbelanjaan semasa," katanya.

Tambah beliau, senario berterusan sebegitu tidaklah optimum dari sudut fiskal dan adalah wajar bagi kerajaan untuk mengambil tindakan bagi menambah baik kaedah penyampaian bantuan yang lebih bersasar kepada rakyat.

"Di dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menzahirkan bahawa kerajaan akan melaksanakan penyasaran semula subsidi supaya tidak berlaku pembaziran wang rakyat yang memberi manfaat kepada golongan yang mampu dan tidak berhak seperti warga asing," ujar Ahmad Zahid.

Katanya, kerajaan telah dapat membuat penjimatan kira-kira RM4.6 bilion daripada peruntukan subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2023 susulan langkah untuk tidak meneruskan pemberian subsidi elektrik kepada syarikat-syarikat besar dan isi rumah yang menggunakan tenaga elektrik pada tahap tinggi.

"Namun, kerajaan tetap memastikan kebajikan rakyat terpelihara di mana 90 peratus isi rumah dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus menikmati subsidi elektrik dan kerajaan unjurkan membelanjakan RM16 bilion untuk elektrik tahun ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan mekanisme untuk meredakan keresahan rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang mencabar.

"KPDN sedar keseimbangan di antara keperluan perdagangan dan kepenggunaan mengambil masa untuk dicapai matlamatnya.

"Justeru, KPDN memberi platform kepada strategi dan inisiatif baharu agar jurang di antara kedua-duanya dapat dipertemukan kelak atau sekurang-kurangnya terdapat kestabilan kelak," katanya.

Beliau berkata, agenda jaminan perlindungan sosial perlu dibuka seluas-luasnya dan kaedah sedia ada seperti waqaf, 'endowment', 'social enterprise' perlu diremajakan serta diketengahkan agar menjadi pelengkap kepada penyasaran semula subsidi.

"Sekiranya kita mempunyai jaminan perlindungan sosial dan penyasaran semula subsidi serta peranan pihak seperti waqaf, baitulmal dan lain-lain, saya percaya pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh pencarum kerana kecemasan luar biasa boleh dinoktahkan.

"Kerangka keseluruhan ini sewajarnya boleh menyambut kehidupan yang sukar kepada rakyat Malaysia sama ada di ketika keadaan biasa dan juga krisis," katanya.