Sungai Kedah dijadikan produk pelancongan ikonik

Bot yang membawa pelancong menelusuri Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit antara tarikan baharu bandar raya Alor Setar.
Bot yang membawa pelancong menelusuri Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit antara tarikan baharu bandar raya Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah mewujudkan pelan induk pembangunan Sungai Kedah untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan ikonik di bandar raya ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, kerajaan negeri bercadang untuk mengangkat permohonan pembangunan Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit ke peringkat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) dalam Rolling Plan ke-5, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Mohd Salleh
Mohd Salleh

Menurutnya, antara inisiatif yang dilakukan untuk membangunkan dan mempromosikan lokasi tersebut ialah dengan melantik sebuah syarikat sebagai operator bot di sungai berkenaan dan ia mendapat sambutan menggalakkan.

“Inisiatif lain termasuk menceriakan kawasan sekitar dengan elemen pencahayaan selain membina tembok di pinggir sungai tersebut.

“Ia membolehkan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan di sepanjang sungai seperti memancing dan bot kawalan jauh yang menarik penyertaan dalam dan luar negara,” katanya ketika menjawab soalan lisan Teh Swee Leong (Kota Darul Aman-DAP) berkaitan pembangunan Sungai Kedah di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.

Mohd Salleh berkata, kesemua usaha tersebut menunjukkan petanda positif dalam usaha membangunkan Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama MBAS telah beberapa kali mempromosikan Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit sebagai produk pelancongan ikonik negeri ini. Promosi yang dilakukan bukan bermula beberapa tahun lepas, sebaliknya bermula sebelum Discover Kedah 2016 lagi.

Artikel Berkaitan:

“Ini menunjukkan kerajaan negeri serius untuk mengangkat Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit sebagai produk pelancongan ikonik Kedah,” jelasnya.

Menurutnya, antara program dilaksanakan dalam mempromosikan kawasan tersebut ialah eksplorasi Sungai Anak Bukit, Fun Race RC Power Boat, kayuhan basikal di sepanjang Sungai Anak Bukit serta gotong-royong.

Mohd Salleh memaklumkan, dalam usaha menceriakan sekitar kawasan pembangunan sungai, sistem pencahayaan di Sungai Anak Bukit (Masjid AlHussin) dengan kos RM198,000 merangkumi pemasangan tiang dekoratif dan lampu jalan dilakukan di sepanjang sungai tersebut.

“Inisiatif lain dengan menanam pokok hiasan bagi tujuan pengindahan Sungai Anak Bukit. Kerja-kerja menstabilkan tebing Sungai Anak Bukit dan pembaikan jeti Muzium serta kerja berkaitan turut dilakukan di Kampung Seberang Pumpong dengan anggaran kos RM380,000.

“Kerja-kerja elektrik di Sungai Anak Bukit (RM498,000) antaranya memasang lampu LED berwarna di Jambatan Tambang Badak, lampu hiasan berwarna di pokok besar berhampiran Sungai Anak Bukit serta lampu LED berwarna di sepanjang ‘tangga ayam’ Sungai Anak Bukit.

“Pemasangan papan tanda arah bagi laluan basikal sekitar Sungai Anak Bukit turut dilakukan termasuk papan tanda pelancongan di 13 lokasi. Selain pemasangan pintu gerbang serta papan tanda Sungai Anak Bukit di Jambatan Tambang Badak,” ujarnya.