Kes penipuan di Selangor catat kerugian hampir RM72 juta

Gambar kecil: Fazlisyam
Gambar kecil: Fazlisyam
A
A
A

SHAH ALAM - Kes jenayah komersial penipuan melibatkan kes pinjaman tidak wujud, e-dagang, Macau Scam dan Love Scam Selangor sejak Januari hingga 26 Disember lalu mencatatkan 2,141 kes dengan nilai kerugian hampir RM72 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, berdasarkan pecahan, kes penipuan pinjaman tidak wujud mencatatkan jumlah paling banyak dengan 726 kes, ia diikuti e-Dagang (621), Macau Scam (495) dan Love Scam (299).

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan terpengaruh sekiranya menerima panggilan daripada agensi tertentu kemudian meminta supaya memindahkan wang ke akaun lain kerana ia bukanlah tatacara kerja sebenar yang dilaksanakan oleh mana-mana agensi.

"Polis mengingatkan orang ramai jangan mudah percaya sekiranya menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali walaupun mereka memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa dan sebagainya.

"Ini bukan prosedur kerja agensi penguatkuasa. Sebab itu kenali dengan siapa mereka berkomunikasi," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya lagi, sindiket ini didapati menyamar sebagai pegawai bank, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa penguatkuasa lain dan bijak mengeksploitasi keadaan bagi memperdayakan mangsa.

Mengulas lanjut Fazlisyam berkata, buat semakan lanjut sekiranya was-was dan jangan terlalu mudah ikut arahan mereka terutama membabitkan nombor akaun dan pemindahan wang.

Beliau turut mengakui kes-kes penipuan dalam talian itu boleh dikatakan setiap hari berlaku dengan menggunakan modus operandi yang hampir sama.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, jagalah harta benda dengan sebaiknya, jangan mudah percayakan orang lain," katanya.

Selain itu, orang ramai boleh melayari laman sesawang PDRM untuk mendapatkan info terkini mengenai modus operandi penipuan.