16 individu didenda, mengaku tawar pekerjaan tidak wujud

Sebahagian tertuduh berusia 21 hingga 37 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Melaka kerana melakukan penipuan dalam talian dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud.
Sebahagian tertuduh berusia 21 hingga 37 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Melaka kerana melakukan penipuan dalam talian dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud.
A
A
A

MELAKA - Seramai 16 individu termasuk tiga warga China didenda RM48,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, selepas mengaku bersalah melakukan penipuan dalam talian dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda tersebut masing-masing kepada 16 individu berusia 21 hingga 37 tahun.

Tertuduh diiringi polis ketika keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Selasa.
Tertuduh diiringi polis ketika keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Selasa.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka bersama-sama sebagai pihak daripada pakatan jenayah telah melakukan kesalahan memperdaya mangsa-mangsa di United Kingdom dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang tidak wujud.

Kesalahan didakwa dilakukan di No 2, Jalan Vista Kirana 3, Taman Vista Kirana, Ayer Keroh di sini, pada 3.30 petang, 21 November lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal dan semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kesemua tertuduh membuat rayuan dalam bahasa Mandarin dan bahasa Melayu memohon hukuman denda minimum kerana mempunyai tanggungan ahli keluarga termasuk ibu bapa sakit.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, seorang penghidap kanser saraf, Soon Hoong dari Alor Setar, Kedah merayu denda rendah kerana dia terlibat dalam jenayah itu untuk mengumpul wang bagi menjalani pembedahan.

Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Selasa.
Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan polis menumpaskan operasi pusat panggilan yang menjalankan sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud di sebuah rumah banglo di Ayer Keroh pada minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, 17 individu termasuk penyelia pusat panggilan yang merupakan warga tempatan berusia 35 tahun turut ditahan dalam serbuan pada 12.23 tengah malam itu.