Tindakan kawal selia diambil MCMC bukan sekat kebebasan media

MCMC mempunyai autoriti dan kewajipan untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik, mengancam dan berunsur fitnah.
MCMC mempunyai autoriti dan kewajipan untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik, mengancam dan berunsur fitnah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan kawal selia diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bukan untuk menyekat kebebasan media.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam jawapan disiarkan menerusi laman web Parlimen pada Isnin memaklumkan ia bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab dan tanpa menyebarkan fitnah ataupun maklumat kurang tepat, ucapan berbaur kebencian serta melindungi integriti raja berperlembagaan dan institusi demokrasi.

"MCMC mempunyai autoriti dan kewajipan untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik, mengancam dan berunsur fitnah,” menurut kementerian itu.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berhubung status cadangan penggubalan akta baharu berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi raja) dan sekatan yang dikenakan kepada portal berita seperti Utusan TV, MalaysiaNow dan TV Pertiwi.