Saran buka pintu sempadan baharu di Baling

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Mohd Taufik Yaacob menyarankan agar sebuah lagi pintu masuk sempadan dibuka di daerah Baling. - Gambar hiasan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Mohd Taufik Yaacob menyarankan agar sebuah lagi pintu masuk sempadan dibuka di daerah Baling. - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Mohd Taufik Yaacob menyarankan agar sebuah lagi pintu masuk sempadan dibuka di daerah Baling.

Beliau berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan susulan sempadan Thailand dengan DUN Bayu hanya sekitar dua kilometer dan boleh dimanfaat untuk pembangunan daerah berdekatan.

Menurutnya, perkara itu pernah dikemukakan kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika Perikatan Nasional (PN) menerajui negara dan beliau menyatakan tiada halangan berbuat demikian sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

“Saranan ini juga sempena kempen Tahun Melawat Kedah 2025, kita (kerajaan negeri) memang tiada kuasa namun adakah kerajaan negeri bersetuju jika kita buka satu lagi pintu sempadan?

“Terdapat Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Lenggong di Bayu dan ketika berada di situ, kita boleh dengar kenderaan dari Thailand sebab terlalu dekat dengan sempadan, sekitar dua kilometer sahaja,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet Kedah 2024 di persidangan DUN Kedah pada Isnin.

Mohd Taufik berharap cadangan tersebut akan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk Kedah memiliki pintu sempadan baharu di Baling.

“Ia antara usaha tarik pelancong dari Pulau Pinang dan Perak masuk ke Kedah selain gamit kedatangan pelancong dari negara jiran.

“Ini merupakan langkah jangka panjang, sebab mungkin ada yang kata saya mohon perkara yang merapu. Saya rasakan ia keperluan sebab ramai dari negara kita masuk ke Thailand, kenapa kita tak boleh tarik pelancong Thailand masuk sini,” jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Perbahasan Mohd Taufik kemudian dicelah oleh Timbalan Speaker DUN Kedah, Abdul Razak Khamis yang bertanyakan sekiranya pintu sempadan baharu dibuka adakah rakyat negara ini atau rakyat Thailand yang lebih banyak menggunakan laluan terbabit.

“Saya yakin dua-dua akan memanfaatkan kemudahan ini,” katanya.

Seterusnya Abdul Razak menyarankan agar Mohd Taufik melakukan kajian sama ada ia menguntungkan negara atau Thailand.

“Kalau kita (Malaysia) yang rugi tak perlu buat,” ujarnya bersahaja dan mengundang ketawa ADUN yang hadir.

Bagaimanapun, Mohd Taufik percaya cadangan tersebut akan menguntungkan negara dan boleh dijadikan jalan pintas untuk memasuki Kedah.

“Kebanyakan pengunjung dari Pulau Pinang ambil jalan pintas masuk ke Perak melalui Betong, kalau kita buka pintu sempadan ini lebih ramai dari negeri jiran akan gunakan laluan ini untuk terus masuk Thailand, seterusnya jana ekonomi penduduk setempat,” ujarnya lagi.